Direject? itu biasalah

Saya teringat satu masa dulu, saya dan rakan, Imam Habibie, dijemput untuk mengendalikan program Awesome Facilitator! bersama pelajar SMA Sultan Ismail, Dungun dan SMA Al Falah, Kemaman di Anguillia Resort, Marang, Terengganu.

IMG_1009

Seusai tamat program pada hari rabu, petang itu kami bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur. Bagai menjadi adat, alang alang singgah di Terengganu, sudah tentulah keropok lekor dan keropok ikan akan menjadi buah tangan.

Saya jadi semacam excited. Eksaited gila nak beli keropok lekor!

Yelah, nak bawak balik buah tangan untuk ahli keluarga dan sanak saudara beb!

Saya memandu kereta Mercedes Benz buatan Jerman tahun 1999, meluncur laju ke Kuantan. Hanya saya dan Imam di dalam kereta tersebut. Imam sudah nyenyak tidur di sebelah, sementelah saya khusyuk memandu kereta sambil sesekali mata melilau mencari kedai keropok lekor yang akan dijajah lagi.

Sampai di pekan Dungun, saya ternampak sebuah kedai yang namanya Kedai Keropok Lekor 101, Dungun. Ianya berdekatan dengan stesen minyak Shell. Setelah parking kereta di tepi jalan, saya keluar dan menjenguk.

Ada seorang gadis yang berada di kaunter, sedang sibuk menyiapkan beberapa urusan di kedai. Dia menyapa saya yang menjenguk ke kedainya.

“Oh, comel juga.” Kata hati kecil saya.

Walaupun hati memuji, tapi langsung tak terlintas dalam fikiran untuk berkenalan atau berkawan dengan si dia apatah lagi menjadikan dia teman hidup. Serius!

“Yang mana yang paling sedap?” Tanya saya.

“Semua sedap.” Balasnya sambil tersengih.

“Ada tester tak?”

“Ambiklah yang mana nak dirasa.” Katanya.

Sedang saya asyik memilih mana yang ingin dirasa, tiba tiba keluar seseorang daripada belakang. Comot pakaian dengan tepung. Nampak gaya, mungkin dia bertugas di bahagian menguli tepung dan menyediakan bahan asas untuk keropok lekor.

Saya nampak ada lebihan rambut di tudungnya, terkeluar dan saya alihkan pandangan mata saya. Lagaknya seolah olah saya tidak nampak.

Tiba tiba, perempuan yang bertugas di kaunter terus membisikkan sesuatu kepada perempuan yang bertugas di belakang.

Selepas perempuan di kaunter itu membisikkan sesuatu, perempuan yang bertugas di bahagian dapur terus membetulkan tudungnya untuk memasukkan semua rambutnya tidak dilihat oleh seseorang yang belum halal seperti saya.

“Oh, ternampak rambut ya?” Usik saya ringkas.

“Adik, bungkuskan keropok goreng dua ringgit, dan sata dua ringgit.” Saya memesan.

Setelah membuat pembayaran, saya terus menuju ke kereta, dan Imam telah terjaga daripada tidurnya.

“Imam, jom makan ni. Sedap!” Saya hulurkan pada Imam.

Hati yang tertinggal

Sepanjang perjalanan, saya jadi tak tenteram. Seolah olah saya tertinggal sesuatu.

Ya, hati saya tertinggal di sana!

Hati saya berbolak balik. Resah gelisah.

Nak patah balik tak? Tanya hati kecil. kalau nanti dah sampai kuantan, memang terlepaslah segala peluang.

“Imam, saya rasa resah lah.” Seru saya.

“Kenapa abang Syafiq?” Imam Habibie bertanya.

“Rasa macam nak patah balik je. Sebab saya dah TERberkenan kat seseorang.” Kata saya seolah berseloroh.

Perbualan kami berlanjutan sehingga saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Sebelum U-turn ke lorong yang sepatutnya, saya duduk diam selama sepuluh minit. Cuba meyakinkan diri sendiri.

Betul ke mahu patah balik? betul ke serius mahu berkawan? atau sekadar nak jadikan dia teman hilangkan bosan?

Setelah hati dikukuhkan, saya meyakinkan diri sendiri. Kalau ada jodoh, maka ada lah!

Di kedai yang sama juga, saya sengaja berlagak seolah olah mahu beli lagi.

“Adik, bungkuskan sata yang frozen  tu lagi dua bungkus.” pesan saya.

Selesai membuat pembayaran buat kali kedua, sebelum berlalu pergi. Saya bertanya, “Boleh saya minta nombor telefon mak awak?”

“Tuu.” Balas gadis itu sambil jarinya menuding ke arah nombor telefon yang ada pada sebuah banner yang di gantung di hadapan kedai tersebut.

“Yang mana number mak?”

“Yang 011-1 tu. ”

“Tahu tak kenapa saya nak minta nombor telefon mak?”

“Taktahu.” Dia menggelengkan kepala. Wajah polosnya buat saya tenteram.

“Saya nak call mak awak untuk minta kebenaran berkawan dengan awak.” Balas saya sambil berlalu pergi. Meninggalkan dia dalam tanda tanya.

Kami terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.  Setelah selesai menghantar Imam Habibie ke UIA Petaling Jaya, saya selamat tiba di rumah pada jam 10 malam, lebih kurang.

Setibanya di Kuala Lumpur pada malam itu, saya merehatkan diri. Penat memandu daripada Marang ke Kuala Lumpur melalui jalan Kuantan masih belum habis.

Hari khamis berlalu. Nombor telefon mak kepada gadis itu sudah saya miliki. Tapi nak buat apa? Apa step yang perlu saya buat?

Saya berfikir lagi, mahu teruskan atau tidak?

Saya bertindak

Hari ini hari jumaat. Saya menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Kampung Bharu. Akhirnya, saya bertekad untuk bertanya khabar dan melangkah. Melangkah untuk mengesan peluang.

Saya menelefon, dan panggilan diangkat.

“Assalamualaikum. Apa khabar?” Saya memberi salam.

“Waalaikumsalam. Alhamdullillah, baik. Ya, ni siapa?” Kedengaran suara perempuan di corong telefon.

“Saya Syafiq, Makcik.”

“Syafiq yang mana ya?”

“Kita tak pernah jumpa lagi, makcik. Saya pernah pergi kedai makcik yang dekat Dungun tu. Sedap keropok lekor yang makcik jual.”

“Oh, terima kasih lah.”

“Begini, makcik. Baru baru ini, saya pergi ke kedai makcik. Dan saya berkenan nak kawan dengan anak makcik. Yang namanya Neelofa (nama samaran) tu.”

Makcik itu tergelak kecil, “Oh, dia belajar pun tak habis lagi.” Jawab makcik sambil tersenyum.

“Oh, takpelah. Nak kawan je makcik. Kalau ada rezeki, ada lah. Kalau ada jodoh tu, ada lah.” Saya juga menjawab sambil tersenyum.

“Boleh je kalau macam tu. Nanti makcik tanya tuan punya badan. Kalau makcik, okey je. Makcik lagi suka.”

“InsyaAllah. kalau macam tu, nanti saya telefon balik nak tahu jawapannya. Assalamualaikum makcik.” Saya menamatkan perbualan dengan senyuman.

“Waalaikumsalam.”

Hati saya berbunga indah! Berbunga bunga dan harum wangiannya! Saya senyum sampai penghujung hari!

Nombor telefon makcik tersebut, terus saya save dengan nama, ‘Mak Mentua’

Jawapan itu

Saya telefon semula makcik dengan nama ‘Mak Mentua’ beberapa hari kemudiannya. “Assalamualaikum Makcik. Apa khabar?”

“Alhamdullillah. Ni siapa ya?”

“Ni Syafiq, yang telefon makcik minggu lepas tu.”

“Oh, kejap ya.”

‘Bakal Mak Mentua to be’ menghulurkan telefon kepada Neelofa.

“Err ni siapa ya?”  Tanya Neelofa.

Saya mendengar suara seseorang yang bernama perempuan.

“Saya Syafiq, dan kita pernah berjumpa di Dungun. Ingat lagi tak?”

“Oh okey. Salah nombor ni.”

Panggilan ditamatkan.

Saya terkedu. Fahamlah saya bahawa saya direject. 

Respons saya

Luluhnya hati saya direject. Hancurnya hati saya bagaikan Candy Crush. Dush Dush Dush!

Tetapi apakah yang perlu saya lakukan? Apakah yang saya nak lakukan?

Adakah saya perlu membunuh diri? Mencampakkan telefon ke dalam sungai? Mogok lapar selama setahun? Demontrasi di depan kedai makcik tersebut?

Oh tidak!

Bunga bukanlah sekuntum. Bahkan, bunga pula ada bermacam jenis.

Ada bunga mawar. Ada bunga raya. Ada bunga kertas. Ada bunga matahari. Ada bermacam bunga!

Penutup

Anda pernah direject apabila ingin menjadikan seseorang sebagai teman hidup dengan lebih serius?

Eh Chillex lah!

Banyak lagi bunga beb!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s