OY : Modul Motivasi : Terbanglah Jauh!

Cover Ebook Ads.007

Saya adalah seorang Fasilitator Pembelajaran Profesional (PLF). Kami ditekankan, oleh pengasas Sistem Pembelajaran Profesional Take Charge Sdn Bhd Encik Mohd Rizal bin Hassan bahawa seseorang fasilitator itu perlu ikhlas dalam berkongsi sesuatu.

Proses perkongsian perlu dibentangkan dengan cara yang paling menarik, supaya proses pembelajaran itu bertambah menarik.

Proses pembelajaran yang menarik akan membuatkan peserta terus tertarik untuk meneruskan aktiviti seterusnya,

Maka di dalam bab ini, saya ingin berkongsi salah satu modul yang digunakan oleh saya dan bagaimana saya menjadikan program itu menarik.

Modul ini saya namakan sebagai Terbang Jauh. Saya pasti ada beberapa modul lain yang mempunyai sedikit persamaan dengan modul ini, tetapi dengan nama yang lain.

Modul : Terbang Jauh!

Setiap peserta diberikan sehelai kertas setiap seorang. Ketua Fasilitator bersedia untuk memberikan arahan.

“Semua dah dapat kertas yang fasilitator anda berikan?” Kata Ketua Fasilitator.

“Dah!!!!” peserta menjerit gembira.

“Baiklah, dengan menggunakan kertas yang ada, saya mahu anda tuliskan lima impian yang anda inginkan.” Fasilitator memberikan arahan ringkas.

“Abang boleh bagi contoh tak?”

“Saya dah siap!”

Begitulah karenah peserta.

“Saya beri masa sepuluh minit untuk anda semua.”

Peserta pun mula menulis impian masing masing di atas sehelai kertas yang diberikan. Lagu I have A Dream yang dinyanyikan oleh kumpulan remaja Westlife dimainkan.

Setelah tamat masa yang diberikan, maka Ketua Fasilitator pun bertanya, “Semua dah siap?”

“Dah!!!” Semua peserta menjerit kegirangan.

“Siapa lagi belum siap?”

Ada beberapa peserta yang mengangkat tangan, sambil bertanya beberapa soalan.

“Abang, saya baru tulis tiga.”

“Abang, saya tulis lebih daripada lima. He he he.”

Ketua fasilitator tersenyum kemudian menyambung, “Cuba perhatikan setiap seorang daripada kamu. Semua orang telah menulis impian mereka di atas kertas masing masing. Ini bermakna semua orang mempunyai impian.”

“Kamu ada impian kamu, abang ada impian abang, kakak Izzati pun ada impian dia.”

“Impian ini juga adalah matlamat di dalam hidup kamu.  Seseorang yang tidak mempunyai matlamat ibarat sebuah kereta lumba yang dipandu laju tetapi tidak mempunyai destinasinya.”

“Begitu juga sebagai seorang pelajar, kita mestilah mempunyai matlamat. Belajar tanpa matlamat ibarat menembak tanpa sasaran.”

Semua peserta mengangguk faham. Mereka jelas dengan penjelasan yang diberikan oleh Ketua Fasilitator.

“Baiklah, kita teruskan aktiviti seterusnya. Boleh?”

“Boleh!!!”

“Dengan menggunakan kertas yang ada. Abang mahu kamu bina sebuah kapal terbang yang boleh terbang jauh. Abang beri kamu masa sepuluh minit. Baiklah, mulakan sekarang!”

Lagu tema Pink Panther dimainkan.

Peserta begitu tekun membina kapal terbang masing masing. Pelbagai teknik membina kapal terbang dapat diperhatikan dan ada pelbagai bentuk kapal terbang. Manakala yang tidak tahu teknik untuk membina kapal terbang meminta tunjuk ajar daripada kawan – kawan dan fasilitator.

“Semua dah siap?” Tanya Ketua Fasilitator.

“Dah!!!!” balas peserta.

Ketua Fasilitator menyambung, “Saya mahu semua orang berdiri di sini.” Arah Ketua fasilitator sambil menunjukkan tempat dia berdiri.

Semua peserta bergegas untuk berkumpul di tempat seperti yang diarahkan oleh Ketua Fasilitator.

Ketua Fasilitator berjalan beberapa langkah ke depan.

“Selepas ini, kamu akan menguji sejauh manakah kapal terbang kamu mampu terbang.”

“Jika kapal terbang kamu tidak berjaya melepasi garisan ini, kamu tidak akan berjaya untuk mencapai impian kamu.” Ketua Fasilitator memulakan provokasi.

“Tetapi jika kapal terbang kamu berjaya melepasi garisan yang kedua ini. Kamu akan berjaya capai separuh daripada impian kamu.”

“Tetapi apabila kamu berjaya melepasi garisan ketiga, iaitu garisan yang paling jauh ini. Kamu akan berjaya capai semua impian kamu.”

“Bersedia?”

“Bersedia!!!” Jerit peserta penuh bersemangat.

Lagu Gemuruh yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir pun dimainkan.

 

“Apabila abang tiupkan wisel, terbangkan kapal terbang kamu.

Bersedia?” “Bersedia!!!!!” Pritttt.

Semua peserta pun menerbangkan kapal terbang masing masing sejauh mungkin. Ada kapal terbang yang tidak terbang jauh, ada kapal terbang yang tidak melakukan pendaratan dengan sempurna dan ada kapal terbang yang terbang jauh sehingga melepasi garisan ketiga.

Kapal terbang kertas itu berselerak di merata rata. Lagu dihentikan.

“Jauh tak kapal terbang kertas kamu itu terbang?” tanya Ketua Fasilitator.

“Jauh!” Jerit peserta yang kapal terbang miliknya terbang jauh melepasi garisan ketiga.

“Tak. ” Sungut peserta yang lain pula.

“Ini kau punya pasallah, kenapa kapal terbang kau langgar kapal terbang aku.”

“Kapal terbang saya rosak, bang.”

`

Ketua fasilitator hanya mengangguk sambil berkata, “Okey, apa kata kalau kita terbangkan lagi untuk pusingan yang kedua? Sekarang pergi ambil balik semua kapal terbang kertas kamu.”

“Yes!” Jerit peserta bersorak kegirangan sambil berlari – lari memungut kapal terbang kertas masing – masing.

“Baiklah, dah bersedia ke belum?”

Lagu HambaMu yang dinyanyikan oleh Mawi dan Akhil Hay dimainkan untuk menyemarakkan semangat peserta.

Prittttttt!

Semua peserta menerbangkan kapal terbang kertas masing masing buat kali kedua. Kali ini hampir kesemua kapal terbang mereka berjaya melepasi garisan ketiga.

“Tahniah! Abang lihat hampir kesemua kapal terbang kertas kamu berjaya melepasi garisan ketiga. Berikan tepukan yang paling gemuruh untuk diri sendiri.”

“Sekarang cuba lihat keadaan dewan kita ini. Begitu berselerak dengan kapal terbang kertas kamu. Maka dalam kiraan sepuluh saat, abang mahu kamu kutip semua kapal terbang kamu dan masukkan ke dalam plastik sampah yang disediakan oleh fasilitator.”

Semua peserta segera mengutip kapal terbang masing – masing dan memasukkannya ke dalam plastik berwarna hitam yang dipegang oleh fasilitator. Ada beberapa orang peserta yang enggan membuang kapal terbang kertas mereka, lalu menyimpan kapal terbang tersebut.

“Semua dah buang?” Tanya ketua fasilitator. “Dah.” Semua peserta menjawab hampir serentak.

“Tu kenapa tak buang lagi tu?” Tiba – tiba marah seorang fasilitator yang lain.

“Cepatlah!” Tengking fasilitator yang lain pula.

Peserta yang tadinya ingin menyimpan kapal terbang kertas mereka segera membuangnya. Hanya dua orang sahaja yang masih menyimpannya.

Seni Provokasi

Ketua fasilitator bertanya lagi, “Semua dah buang ya?”

“Dah.” Jawab semua peserta perlahan.

“Boleh abang tanya kamu beberapa soalan?”

Peserta mengangguk. Mereka kelihatan tidak sabar menanti soalan seterusnya daripada ketua fasilitator.

“Apa yang kamu buang tu?” “Sampah kertas lah abang.” “Kapal terbang kertas.”

`

Begitulah jawapan yang diterima daripada para peserta.

“Apa yang ada pada kertas tu? Apa yang kamu tulis di atas kertas itu?” bertubi tubi soalan diajukan oleh ketua fasilitator.

“Impian kami.” Jawab peserta dengan suara yang perlahan.

“Kenapa kamu buang kertas yang di atasnya tertulis impian kamu?”

“Sebab abang yang suruh.” Jawab peserta sayu.

“Oh. Maksudnya kalau abang suruh kamu minum racun pun, kamu akan minumlah?”

Peserta tunduk menyesali perbuatan mereka.

“Berapa saat abang bagi untuk kamu buang kertas yang tertulis impian kamu tu?”

“Sepuluh saat, abang.” Jawab seorang peserta perlahan.

“Baiklah, dalam masa sepuluh saat juga, abang mahu kamu cari balik kertas yang tertulis impian kamu itu. Sekarang!”

Semua peserta berlari lari dan menyelongkar plastik berwarna hitam tadi. Mereka mencari kapal terbang kertas masing masing.

“Jumpa tak?” Fasilitator memulakan provokasi.

Ada peserta yang menemui kembali kapal terbang kertas mereka dan begitulah sebaliknya.

“Susah tak nak cari kertas impian kamu tu?” Ketua fasilitator bertanyakan soalan.

“Susahlah abang. Banyak sangat kertas di dalam tu.” “Berterabur, susah nak cari.”

“baiklah, abang bagi masa tambahan untuk kamu cari kertas itu sampai jumpa.” Ketua Fasilitator berkata.

“Saya dah jumpa! Yeay!”

Ketua fasilitator menghadiahkan senyuman yang paling indah. Kemudian dia berkata, “Setiap orang ada impian masing masing, betul atau tidak?

Impian yang kamu semua tuliskan adalah apa yang kamu mahu. Abang nak kamu simpan kertas tu, dan pastikan kamu semua capai impian kamu. Sebab itu adalah impian kamu. Setuju?”

“Setuju.” jawab peserta dengan penuh bersemangat.

“Baiklah, sekarang sila cari kertas kamu dan simpan di dalam fail masing-masing.” Arah Ketua Fasilitator.

Peserta pun mencari kertas impian masing masing, dan menyimpan kertas tersebut di dalam fail yang disediakan oleh urusetia.

`

Penutup : Jadi Kreatif!

Jika anda mahu menjadi seorang fasilitator yang berkualiti, menjadi kreatif adalah salah satu ciri- ciri yang perlu ada pada diri anda.

Bagaimanakah mahu menjadi kreatif?

Cara yang saya gunakan adalah, kami akan adakan perbincangan mengenai modul dan melakukan praktikal aktiviti tersebut supaya jika ada kelemahan sepanjang proses praktikal. Kami akan memperbaikinya dan pendapat setiap ahli perbincangan akan diambil kira.

Jadi bagaimana dengan anda?

 

Untuk membaca lebih lanjut, sila dapatkan buku OH YEAH! Sebenarnya Saya seorang Fasilitator di link berikut.

sayafasilitator.blogspot.com

Nota 1 : artikel ini merupakan sebahagian daripada bab dalam Buku saya, OH YEAH! Sebenarnya Saya Seorang Fasilitator.

Nota 2 : Artikel ini hak milik saya, namun anda dibenarkan untuk melaksanakan modul ini di tempat anda.

Nota 3 : Semoga sukses!

7 thoughts on “OY : Modul Motivasi : Terbanglah Jauh!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s