Masjid Oh Masjid, Bergeraklah!

SAM_2508

Petang itu azan maghrib berkumandang. Saya duduk melepak sendirian di dalam ruang makan di Masjid Al Falah.

Saya dan beberapa orang teman berkampung di Masjid Al Falah selama tiga hari dua malam.

Kami berkampung, mengendalikan kira kira 24 orang peserta Kem Smart Soleh siri IV. Program Kem Smart Soleh siri IV ini terbuka kepada semua pelajar berumur 10 – 15 tahun.

Saya memerhatikan peserta yang sedang menyiapkan diri untuk solat.

Ada yang duduk di dalam masjid sambil membaca Al Quran. Ada yang sibuk menyikat rambut. Ada yang bermain kejar kejar di dalam masjid.

Sementara saya duduk. Memerhati.

Ada seorang waris peserta masuk ke dalam masjid. Dia turut menyertai saya melepak di dalam dewan makan itu.

“Malam ni apa aktiviti peserta?” Tanya pak cik itu.

“InsyaAllah, malam ni ceramah motivasi Impian Berharap.”

“Oh.”

“Macam mana kerjasama daripada pihak masjid?” Pak cik itu bertanya lagi.

“Alhamdullillah. Depa bagi tempat untuk buat program pun, saya dah bersyukur sangat sangat.”

“Depa tak tolong apa-apa ke?  Tolong masak ke? ”

Saya menggelengkan kepala.  “Kami buat sendiri semua untuk jimatkan kos. InsyaAllah mudahkan pihak kami jugak.”

“Sepatutnya pihak masjid kena mainkan peranan, bantu mana yang perlu.”

Saya mengangguk tanda setuju.

“Sepatutnya inilah yang pihak masjid buat untuk imarahkan masjid. Kita buat program, nak ajak remaja untuk mencintai masjid. Tapi masjid ni tak tahu macam mana nak imarahkan masjid.”

“Tambah bila Cik A pegang jawatan setiausaha.”

Perbualan kami terhenti apabila muazzin melaungkan iqamat. Menyeru kami untuk solat berjemaah.

Jawatan dan Amanah

Saya harus akui, ada di kalangan AJK Masjid yang hanya memegang jawatan penting di dalam badan pengurusan masjid, tanpa ada usaha untuk mengimarahkannya.

Ada di kalangan pengurusan Masjid yang terlalu ghairah mengumpulkan kekuatan kewangan tanpa ada usaha membelanjakannya  untuk menghairahkan anak muda mencintai masjid.

Malah, ada di kalangan AJK Masjid yang memegang sesuatu jawatan terlalu lama. Sehinggakan menutup pintu dan ruang untuk generasi muda menduduki tempat penting dalam kalangan pengurusan masjid.

Mungkin, ada AJK Masjid yang hanya bersemangat hangat sementara, kerana  semangatnya untuk mengimarahkan masjid tidak mempunyai momentum yang baik.

Sedangkan ‘mereka-mereka’ ini harus sedar bahawa mereka memegang amanah selaku badan pengurusan rumah Allah.

Dan amanah ini harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk menggalakkan lebih ramai manusia menjadi tetamu Allah.

Menjadi tetamu Allah akan mencambahkan lagi rasa cinta Allah terhadap kita.

Umpama saya, datang hari – hari melawat rumah bakal isteri. Setiap minggu datang bertanya khabar. Pasti bakal bapa mertua makin sayang.

Sebenarnya tugas siapa?

Saya mendapati, bahawa kebanyakan AJK Masjid yang dilantik ini, mereka tidak diberi garis panduan yang sesuai terutamanya yang melibatkan proses pengimarahan masjid.

Di kampung saya, mereka yang dilantik menjadi AJK Masjid ini mempunyai latar fikiran cara tradisional.

mereka mempunyai garis panduan yang sedia dipraktiskan sejak sekian lama dahulu. dan mereka praktiskan pada zaman ini.

Mereka memahami bahawa masjid adalah tempat beribadah, dan tempat mencari ilmu.

Justeru, golongan ini memfokuskan untuk menganjurkan kuliah agama, ceramah-ceramah agama dan sebagainya yang hanya melibatkan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Dengan hormatnya, saya takrifkan mereka sebagai generasi yang mempunyai fikiran cara Orang Tua.

Manakala saya sendiri berpendapat bahawa masjid itu adalah suatu tempat yang sepatutnya dijadikan tempat perhimpunan kita.

Saya menggalakkan program sukaneka diadakan di masjid.

Saya menggalakkan program sukan seperti permainan bola sepak dilakukan di masjid meskipun masjid tidak mempunyai padang bola. Tempat letak kereta pun jadilaaah!

Saya menggalakkan agar pihak masjid mengadakan kelas tambahan bahasa inggeris di dewan masjid, atau dewan solat masjid.

Saya menggalakkan agar program program kepimpinan mahupun program pembangunan insan dianjurkan di masjid.

Bahkan saya menyokong agar generasi kanak kanak diberikan peluang untuk berlari lari di dalam kawasan ruang solat, meskipun saya sendiri mungkin berasa janggal dengan proses lari lari ni.

Fokusnya bukanlah untuk mengajak golongan kanak kanak ini mengimarahkan masjid.

Tetapi menjadikan masjid ini mesra masyarakat.

Hatta sekiranya kita melihat dalam konteks yang lebih luas. Kita akan menyedari bahawa kanak kanak inilah penyumbang utama kepada proses pengimarahan masjid itu sendiri.

Sebagai contoh.

Sekiranya seorang kanak kanak berumur 6 tahun telah dibiasakan untuk berada di masjid. Dia akan dan ingin untuk berada di masjid.

Maka apabila dia ingin ke masjid.

Dia memerlukan pengawasan orang yang lebih dewasa dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya untuk menemani kanak kanak tersebut ke masjid.

Namun, siapakah sebenarnya yang harus memainkan peranan ini? Siapakah yang perlu menggencarkan usaha ini?

Ianya adalah tugas kita semua.

Samada saya, golongan mahasiswa, generasi pelajar, para ustaz  dan  guru, golongan petani, jurutera terkemuka , pegawai bank ternama.

Dan juga anda.

Kita semua harus memainkan peranan untuk mengimarahkan masjid itu sendiri.

Penutup

“Aaah. AJK Masjid tu semua makan gaji buta ja. Elaun dapat, tapi kerja tak buat!”

Berhenti membentak dan menyalahkan mereka kerana tidak bekerja sepenuhnya.

Kita ini selaku orang yang tidak mempunyai apa apa jawatan dalam badan pengurusan masjid.

Kita ini selaku orang yang tidak mendapat gaji dan elaun.

Tetapi kita ini adalah orang yang mendapat manfaat dan ganjaran daripada ‘Tuan Rumah’ di akhirat kelak.

Kita akan dapat ganjaran dan pahala apabila kitalah orang yang menggerakkan proses pengimarahan masjid itu sendiri.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s