Takut pandangan manusia

sumber : google

 

Suasana di musolla Kolej Profesional MARA Bandar Penawar tenang dan damai. Seperti kebiasaan, ada di kalangan jemaah yang sedang membaca Al Quran, ada yang berbual, ada yang sedang solat sunat dan ada yang sedang berdiskusi ilmu.

“Syafiq, kau uruskan pelajar semester dua. Aku uruskan pelajar semester satu.” Hazwan memberi arahan.

Hazwan merupakan Presiden JUSWAR. Badan JUSWAR memainkan peranan dengan menguruskan aktiviti usrah dan kerohanian di Kolej Profesional MARA Bandar Penawar.

Saya segera bersetuju. Kaki berjalan pantas ke dewan serbaguna. Pelajar semester dua telah pun berkumpul di suatu sudut di belakang dewan.

Saya memohon kekuatan dari Allah, agar dilepaskan ikatan pada lidah ini. Semoga mereka faham akan perkataan-perkataan yang terlontar.

Saya mengambil masa lebih kurang lima belas minit menyampaikan ucapan yang bertujuan membangkitkan kesedaran peri pentingnya melibatkan diri dalam dunia dakwah.

“Baiklah,siapa yang berminat untuk menyertai JUSWAR?”

Hasil lima belas minit itu, hanya seorang pelajar perempuan semester dua yang berminat untuk melibatkan diri dalam dunia usrah.

Saya kecewa dan gembira.

Kecewa kerana masih kurang kesedaran di dalam diri pelajar ini.

Gembira kerana semuanya mendengar dengan fokus. Sekurang-kurangnya mereka mendengar apa yang ingin disampaikan.

Pelajar perempuan yang berminat menyertai JUSWAR itu namanya Farah (bukan nama sebenar). Saya ajukan nama ini kepada Aizzah. Aizzah merupakan salah seorang naqibah yang mempunyai peranan besar dalam JUSWAR.

Ketika saya melangkah pergi, seseorang menyapa saya.

“Abang Syafiq, boleh saya sembang dengan abang?” Seorang pelajar perempuan menyapa.

“Saya berminat nak sertai JUSWAR, tetapi saya takut dengan persepsi orang lain.” Ujarnya perlahan.

“Apa maksud kamu?”

“Ye lah, saya pun bukannya baik sangat. Kalau saya ajak orang lain berbuat baik, mesti orang akan mengata saya punya.”

Saya mulai menangkap maksudnya dan saya pasti anda juga dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh pelajar perempuan tersebut.

 

TAKUT UNTUK BERUBAH

Saya ada seorang kenalan perempuan, yang hanya menutup aurat dek kerana tuntutan peraturan.

Biarlah saya tafsirkan kenalan perempuan saya ini sebagai Tasha (bukan nama sebenar).

Jika di kelas atau di kampus, tuntutan menutup aurat hanya dipatuhi oleh Tasha kerana peraturan kolej. Namun, peraturan itu tidak dipatuhi apabila dia berada di luar kawasan termaktubnya peraturan itu.

Setiap kali keluar ke pekan, Tasha tidak lagi patuh peraturan tersebut. Dia mendedahkan aurat tanpa segan dan silu. Hatta di laman sosial sekalipun, gambar profilnya juga mendedahkan aurat.

Sehinggalah, ditakdirkan Allah telah membuka pintu hatinya. Tasha memulakan proses transformasi dengan menukar gambar profil di laman sosial miliknya dengan gambar yang lebih sopan dan berpandukan syariat Islam.

Namun, dapatkah anda bayangkan apabila teman-teman Tasha memberikan komen.

Eh, Tasha dah jadi ustazah la!

Bahkan, tidak kurang yang menulis.

Pergh, geli aku tengok gambar kau pakai tudung, Tasha! Tukar cepat!

Lalu Tasha membatalkan niatnya untuk berubah ke arah kebaikan.

Tanpa sedar, sebenarnya Tasha inginkan kebaikan untuk dirinya. Seiring dengan fitrah manusia yang inginkan kebaikan dan kesucian.

Saya pasti bahawa kita sedar bahawa kita memang sedang berubah. Dari kecil hingga dewasa, dari muda sehingga tua, dan orang miskin mahu berubah menjadi orang kaya.

Ya, dan kita juga sedar bahawa dunia juga telah berubah. Bezanya, perubahan dunia berlawanan dengan kehendak dan fitrah kita sebagai manusia.

Dewasa kini, maksiat dan jenayah semakin meningkat. Bahkan, maksiat dianggap perkara biasa dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita lebih takut untuk berbuat kebaikan, dan ada di antara kita yang bangga apabila orang lain tahu tentang kejahatan kita.

Bangga menjadi pelaku maksiat.

Takut menjadi pelaku ma’ruf.

Jika seseorang itu memiilih untuk menjadi pelaku ma’ruf, mereka akan merasa kerdil dan belum bersedia untuk melakukan perubahan secara total. Ini kerana jalan berbuat kebaikan tidak sehala dengan jalan dunia moden kini.

 

Saya juga pernah menjadi ‘mereka’, terlalu takut untuk mengikut fitrah. Saya pernah mengajak seorang teman saya untuk ke kuliah di surau berdekatan dan inilah respons yang saya terima.

Sejak bila kau join kuliah-kuliah ni. Apa celop!

Jujurnya, saya sedikit kecewa dengan respons tersebut. Tetapi, tanyalah pada diri sendiri. Untuk siapa aku berubah?

Adakah aku berubah untuk dilihat oleh manusia atau dinilai oleh Khaliq?

Islam datang dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali dalam keadaan

dagang. Maka berbahagialah orang yang bersama Islam ketika ianya asing.

HR Muslim

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s