Masjid : Besar ruang atau jemaah

“Saya mahu kamu semua bincangkan, cara-cara untuk kita imarahkan lagi masjid.” Saya memberi arahan kepada para pelajar asrama.

Entah, saya rasa kurang bertenaga. Tidak ada mood hendak mengambilalih kuliah maghrib seperti kebiasaannya. Maka saya meminta mereka menyelesaikan tugasan itu.

Sepuluh minit masa diberikan.

Tamat.

Saya meminta mereka menerangkan satu demi satu cara atau kaedah yang dicadangkan oleh mereka. Ada yang memberi cadangan supaya diwujudkan aktiviti kuliah dan menjemput penceramah yang mempunyai aura-aura hebat seperti Ust Kazim Elias, Ust Azhar Idrus, Ust Don  dan sebagainya.

Ada yang memberi cadangan supaya diadakan kelas-kelas Al Quran untuk kanak-kanak.

Ada yang mencadangkan kuliah secara fleksibel. Misalnya kuliah munakahat, kuliah ibadat dan pelbagai bentuk ilmu.

Ada yang mencadangkan agar dianjurkan aktiviti jamuan berbuka puasa pada hari puasa sunat seperti hari isnin dan khamis.

Ada yang mencadangkan supaya pihak masjid menganjurkan pertandingan musabaqah al Quran dan pelbagai lagi cadangan bernas.

Semua cadangan saya terima. Tidak ada yang saya bantah. Proses ini dinamakan sebagai proses brainstorming.

 

 

BERFIKIR DI LUAR KEBIASAAN : Jangan sempitkan pemikiran

Masih ramai di kalangan kita yang malas hendak berfikir secara luar biasa. Ini kerana kita telah diterapkan sejak kecil bahawa masjid hanyalah tempat beribadah.

Hanyalah tempat untuk beribadah.

Anda pergi ke masjid, untuk beribadah. Skop ibadah pula meliputi membaca Al Quran, solat fardhu dan pelbagai lagi ibadah khusus.

“Berapa ramai di antara kalian yang terfikir, cadangan untuk mengimarahkan masjid dengan menganjurkan pertandingan futsal?” Saya sengaja membuat provokasi.

Semua pelajar terdiam. Dahi mereka berkerut. Hairan.

“Berapa ramai di antara kalian yang terfikir, cadangan untuk mengimarahkan masjid adalah dengan menganjurkan pertandingan sukaneka?”

Semua pelajar terdiam. Bertambah hairan. Tak ke pelik, rumah Allah dijadikan tempat bersukaria? Mungkin ini yang berlegar di fikiran mereka.

“Sekiranya pihak masjid menganjurkan pertandingan futsal. Katakanlah, jika acara futsal bermula pada jam 9.30 pagi. Pastinya acara ini akan berakhir pada jam 5.30 petang dan sebagainya. Pertandingan futsal yang dianjurkan ini akan melewati waktu zuhur dan asar. Mungkin, penganjur boleh mewajibkan para peserta untuk turut sama solat zuhur dan asar di masjid berkenaan sebagai salah satu syarat pertandingan. Sama juga halnya sekiranya pihak masjid menganjurkan pertandingan sukaneka untuk kanak-kanak.”

Semua mengangguk tanda faham. Rata-rata semuanya bersetuju.

MAKSIMUMKAN JEMAAH, bukan perbesarkan ruang jemaah.

Mantan Mufti Kedah, Datuk Paduka Hasbullah pernah mempersoalkan cara beberapa pihak pengurusan masjid di negeri Kedah yang suka menyimpan duit masjid tanpa ada keinginan untuk membelanjakannya langsung.

Simpan dan perap untuk dijadikan formula belacan.

Simpan dan perap untuk ubah suai masjid ‘lagi’.

Perbesarkan masjid ‘lagi’.

Cat masjid dengan warna yang lebih meriah ‘lagi’.
Berapa banyak AJK masjid yang giat menghiasi masjid dan berapa banyak AJK  masjid yang giat menggalakkan orang untuk memeriahkan masjid? Dalam sahih Bukhari, Anas r.a. menyimpulkan bahawa ramai yang berlumba-lumba untuk mengindahkan masjid manakala golongan yang mengimarahkan masjid amatlah sedikit.

Pihak masjid perlulah memikirkan cara yang lebih kreatif untuk menggalakkan orang ramai solat berjemaah di masjid, bahkan menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka. Selain itu, pihak pengurusan masjid perlulah lebih bersikap terbuka dalam menerima pandangan generasi muda yang mahukan perubahan. Terdapat segelintir pihak pengurusan masjid yang langsung menolak idea generasi muda.

“Saya nak cuba laksanakan program untuk anak-anak kariah dan menggunakan masjid sebagai tapak program.” Cadangan dikemukakan.

“Saya tinggal di sini sudah empat puluh tahun. Saya tahu bahawa program macam yang awak nak buat memang takkan berjaya.” Balas timbalan pengerusi masjid, dengan nada sedikit angkuh.

Belum cuba belum tahu.

Banyak lagi bukti yang dikemukakan tentang sikap golongan ini. Saya tidaklah bertujuan untuk menerapkan rasa benci di dalam diri anda terhadap golongan ini. Tetapi, mesej yang ingin disampaikan adalah sekiranya anda adalah seseorang yang memegang jawatan di dalam masyarakat atau anda adalah AJK masjid. Maksimumkan penggunaan kuasa anda dengan sebaiknya.

Jika ayah anda adalah AJK Masjid, kemukakan cadangan ini kepadanya. Minta diusulkan di dalam mesyuarat. Semoga usaha anda dihitung sebagai ibadah.

PENUTUP

Saya teringat pada khutbah jumaat, antara isi-isi utama adalah menggalakkan masyarakat untuk lebih kerap menziarahi masjid.

Menjadikan masjid sebagai sebuah tempat yang mesra pengguna.

Menerapkan rasa di dalam diri untuk lebih mencintai masjid.

Selagi masih bernafas, jadikan masjid sebagai tempat kita memadu cinta.

Menyemai baja iman, mengharap redha dari Allah, pemilik segala cinta!

Jom ke masjid?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s