Bila lelaki dan perempuan berpelukan

Bab 16

Mencegah kemungkaran itu adalah tanggungjawab kita, ia tidak terbeban pada seseorang individu atau komuniti tetapi ianya tanggungjawab seseorang yang bergelar muslim.

Tidak banyak kereta memenuhi jalan raya di kampung itu.  Sawah padi yang terbentang luas di kiri dan kanan jalan menyejukkan mata yang memandang. Anak muda yang merantau ke kota atau bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru mahupun Ipoh yang pulang ke kampung halaman pastinya tersenyum ceria tatkala dapat menikmati suasana kampung yang mempunyai udara yang segar dan menginsafkan jiwa yang mahu menikmati kebesaran Pencipta.

Pohon melambai seolah-olah merestui kehadiran mereka ke situ.

Masa terasa begitu lambat berlalu. Perjalanan ke Bukit Ayer yang terletak di negeri Perlis Indera Kayangan mengambil masa 1 jam, 15 minit lebih lewat dari waktu yang sepatutnya.

Syafiq merenung jam di tangannya. Jarum jam semakin menghampiri angka 12. Lagu Satu Hati yang didendangkan La Khauf berputar di stesen radio Hot.fm.

Bilakah lagi kita semua satu hati,

Bilakah lagi keamanan kan dikecapi,

Bilakah lagi Islam kan dijulang tinggi,

Bangunlah wahai ummah, kita satu hati.

 

Marilah bersama bersatu berjihad menentang kezaliman,

Oh insan sedarlah, pembalasan tuhan pasti akan datang,

Syafiq memejamkan matanya, cuba mengikut rentak lagu itu. Mulutnya terkumat kamit, tanpa suara.

Afnan dan Razi yang duduk di belakang telah nyenyak tidur, letih menunggu destinasi yang tak kunjung tiba.

Faiz masih lagi tenang memandu. Dia memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah pemanduan keretanya. Sesekali mata memerhati cermin pandang belakang. Dua buah kereta yang turut serta berkonvoi ke Bukit Ayer masih konsisten mengikut dari belakang. Kereta yang dipandu oleh Laili dan Noraini telah meninggalkan mereka jauh ke depan. Lima buah kereta berkonvoi ke Bukit Ayer untuk majlis reunion yang julung kali diadakan.

Kalaulah tidak kerana Faiz yang memujuknya, pasti Syafiq tidak akan menyimpan niat untuk ke majlis pertemuan semula ahli kelas 3 Rancangan Khas 1 itu.

“Alah, pergilah. Hang sorang ja yang tak pergi reunion kali ni. ” Pujuk Faiz. ”Lagipun,rasa tak lengkaplah kalau hang tak ada.”

“Bukan aku tak mau pi, tapi aku ada kerja.” Syafiq memberi alasan.

“Kerja apa? Lagipun, masa hari reunion tu, public holiday tau. ”

Kata-kata Faiz mematikan alasan Syafiq.

“Okeylah.” Syafiq mengangguk perlahan.

Syafiq melemparkan pandangan ke arah sawah padi yang berwarna kuning keemasan. Pandangannya kabur, sayup-sayup kedengaran lagu nyaring berkumandang di corong-corong radio. Mengantuk.

“Afnan dan Syafiq, hang angkat bahan-bahan untuk bbq. Faiz, sediakan air minuman.  Yang lain-lain, tolonglah yang mana perlu.” Asyraf memberikan arahan. Individu yang bertindak sebagai penyelaras majlis reunion itu membahagikan tugas agar program ini berjalan dengan lancar.

Syafiq dan Luqman menghidupkan bara untuk berbabeku.  Mereka menggunakan sabut kelapa dan sedikit arang kayu. Mereka meletakkan ayam berempah, ubi kentang, udang, ketam dan udang lipan di atas semanggang lalu diletakkan di atas bara.

“Syafiq, aku nak pi mandi dulu. Hang boleh jaga tak?” Luqman meminta izin, setelah melihat teman-teman yang lain mulai turun ke sungai dan air terjun buatan manusia itu. Faiz, Afnan dan Razi telah pun mulai mandi di sungai itu.

Syafiq melemparkan pandangan ke sungai itu, kelihatan ramai anak-anak kecil mandi manda bersama ayah mereka. Ada yang menggunakan pelampung, bermain bola, dan lain-lain. Lelaki dan perempuan, mandi manda bersama-sama. Syafiq ingin mengelakkan perkara itu, bercampuran lelaki dan perempuan di tempat rekreasi.

“Takpa, hang pi mandi dulu. ” Balas Syafiq sambil tersengih. Luqman berlari-lari anak menyertai teman-teman yang lain.

“Ayam tu dah masak ke belum?” Tanya Liyana sambil menunjuk ke arah seketul ayam.

Syafiq memerhati ayam itu.”Dah separuh masak. Hang nak makan separuh masak ke?”

“Ah, tak nak lah. Nanti meragam pulak perut aku kalau makan benda yang tak masak.” Liyana membalas. Acuh tak acuh.

Mereka menanti hidangan barbeku itu masak. Diam. Atmanira turut serta, dengan nafsu makan yang telah terbuka luas untuk menikmati hidangan itu. Teman pelajar perempuan yang lain begitu asyik bersembang tentang masa lalu, sambil menikmati buah tembikai dan mengunyah kacang sebagai kudapan.

Suasana diam, sesekali terdengar gelak ketawa pengunjung lain yang berkelah berdekatan dengan mereka.

“Hang kerja apa, Syafiq?” Liyana membuka topik perbualan. Doktor sakit puan itu  lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia. Liyana bekerja di Hospital Sultanah Bahiyah, Jitra.

“Oh, aku kerja cikgu ja.”

Atmanira menyampuk. “Wah, cikgu! Hang mengajar subjek apa? Mesti sejarah kan?”

“Takdelah, aku mengajar bahasa arab.”

“Aik. Bila masa pulak hang ambik bahasa arab?” Tanya Liyana. Dia hairan kerana mereka bukan pelajar kelas rancangan Khas aliran Agama yang memfokuskan penguasaan bahasa arab.

“Tamat SPM, aku ambil kursus Bahasa Arab Intensif di MATRI. Kemudian, habis matrikulasi di Seremban, aku sambung kursus bahasa arab di UIA semasa cuti akhir semester.”

“Kalau tak silap aku, Luqman cakap engkau budak medik. ”

“Aah, tapi aku berhenti waktu semester 5 sebab medik tak sebati dengan jiwa aku.” Balas Syafiq.

“Macam mana dengan Hana Humaira?” Tanya Atmanira, cuba mengorek rahsia kisah lalu Syafiq.

Syafiq cuba sedaya upaya untuk mengelak kisah itu dibangkitkan semula. Pandangan mata dilemparkan ke arah awan yang gelap.“Eh, aku rasa macam nak hujan ja.” Syafiq cuba mengalih topik perbualan.

Jangkaan Syafiq ternyata tepat. Hujan renyai mulai turun. Mereka yang sedang mandi manda di sungai mulai naik ke daratan , berlindung daripada hujan.

Apabila Syafiq memerhatikan keadaan itu, dia pun segera terjun ke sungai itu. Sedang asyik berenang, matanya terpandang seorang lelaki dan perempuan turut serta mandi.

Perempuan yang bertubuh gebu itu bermain air bersama seorang lelaki. Kemesraan yang terpancar daripada perbuatan mereka, jelaslah bahawa mereka merupakan pasangan kekasih.

Selang beberapa minit kemudian, pasangan tadi duduk di tepian. Tangan lelaki yang berbadan sasa mulai melingkari tubuh gadis montok itu. Tangan yang berpaksikan syaitan itu meraba segenap tubuh gadis itu dan gadis itu seolah merelakan perbuatan durjana lelaki tersebut.

“Adalah lebih baik lelaki itu bergomolan dengan babi daripada ia menyentuh tubuh perempuan yang haram baginya.[1]” Bisik hati kecil Syafiq.

Hujan renyai-renyai yang turun menyebabkan air sungai menjadi semakin sejuk. Pasangan tadi berpelukan. Tangan lelaki kian galak meraba tubuh perempuan itu. Dia meraba punggung perempuan tersebut, manakala tangan perempuan dirangkulkan ke leher lelaki itu. Mereka kononnya saling bertukar haba bagi memanaskan badan.

Segera Syafiq teringat Abu Said Al Khudri r.a., berkata “Aku dengar Rasullullah SAW bersabda : Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya (kuasa), jika dia tidak mampu maka hendaklah dicegah dengan lidahnya. Tetapi jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hati, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Kemungkaran harus dicegah apabila ia berlaku di depan mata. Tapi bagaimana? Otak ligat berfikir, bagaimana dia mahu mencegah kemungkaran itu? Tiada ilham yang datang.

Syafiq hanya mampu melihat dan mencegah dengan hatinya. Ia berazam tidak akan melakukan perbuatan sedemikian. Itulah iman Syafiq yang sangat lemah.

Tidak, aku tidak akan biarkan iman aku dibiarkan dalam keadaan yang lemah! Tegas hatinya.

Syafiq segera berenang melintasi pasangan itu dengan harapan agar mereka berasa malu melakukan kemaksiatan di bumi Allah. Ternyata, syaitan telah menghilangkan rasa malu di dalam jiwa mereka. Mereka masih berpelukan tanpa menghiraukan ribuan mata yang memandang.

Syafiq segera berfikir lagi, pendekatan lain diperlukan untuk menegur pasangan itu. Mungkin aku boleh tegur dengan memarahi mereka kerana berkelakuan seperti monyet yang sedang mengawan. Ya, itulah cara yang terbaik.

Tidak!

Cara itu hanya akan mengeruhkan keadaan. Perkelahian mungkin tercetus antara mereka.

Dakwah perlu dilakukan dengan cara yang paling berhemah. Akhirnya, Allah mengilhamkan sesuatu. Allah yang Maha Bijaksana.

Syafiq berenang menghampiri pasangan itu lalu duduk bersandar di dinding sungai itu. Pasangan itu hanya semeter daripadanya.

Dia diam seketika, cuba menikmati ketenangan.

Syafiq mulai membaca surah Al Isra ayat 32 dengan suara yang lantang. Sengaja dibacanya dengan lantang agar bacaan itu didengari oleh pasangan itu.

Pasangan kekasih itu mulai tak senang duduk. Syaitan yang turut menyertai perbuatan maksiat lari tercirit-cirit apabila mendengar bacaan Al Quran. Tangan lelaki yang galak meraba sudah tidak meraba lagi. Pelukan mereka dilonggarkan.

Lalu Syafiq membaca terjemahan surah Al Isra ayat 32 dengan kuat.

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Wajah lelaki dan perempuan itu merah menahan malu. Mereka mulai menjarakkan diri. Malu dengan perbuatan mereka apabila mendengar lantunan ayat-ayat Al Quran. Alhamdullillah, kerana mereka masih mempunyai secebis iman.

Syafiq tersenyum puas. Dia lega kerana berjaya mencegah kemungkaran dengan lidahnya. Teringat firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 104, “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung

Ya Allah, jadikanlah lidah ini suatu kebaikan yang akan membantu aku menyebarkan agama di bumiMu. Hati berdoa.

Mereka pulang pada jam 5 petang. Majlis reunion itu berjalan dengan lancar. Semoga majlis reunion ini mengeratkan lagi ikatan silaturahim yang terjalin antara mereka.


[1] Ayat ini merupakan antara petikan daripada hadis nabi.

“Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram”. (R. Ibnu Majah)

One thought on “Bila lelaki dan perempuan berpelukan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s