Kami budak zaman sekarang

Assalamualaikum dan salam cinta buat anda pembaca sekalian..

Dengan nama Allah, semoga pena ini menjadi lebih baik dari semalam.

Latar Masa : tahun 2003

Mata meliar mencari kelibat Aiman. Aiman merupakan adikku yang ketiga.  Aku dan dia bermain kejar-kejar di kawasan masjid itu sementara menanti  azan solat isyak. Kami berada di masjid sejak waktu maghrib lagi. Sudah menjadi fitrah kanak-kanak kecil yang mahukan keriangan. Aku ternampak kelibat Aiman memasuki pintu masjid, pantas aku berlari mengejarnya sambil melintasi kawasan utama dewan solat di masjid.

Kelihatan seorang tua sedang membaca Al Quran di satu sudut masjid. Tatkala dia melihat aku berlari di dalam kawasan masjid, maka dia memarahi aku.

“Apa  lari-lari dalam kawasan masjid ni? Pergi main jauh-jauh!” Jerkahnya di khalayak. Semua mata tertumpu pada aku dengan pandangan yang menyakitkan.

Kemarahannya itu buat aku terasa pedih. Aku lalu mogok sendiri,pantas aku pulang ke rumah. Niat hendak mengerjakan solat Isyak berjemaah di masjid itu langsung terbatal. Padan muka aku,tak dapat pahala solat berjemaah.

Sejak itu, aku tak pernah singgah untuk solat berjemaah di situ. Jika solat Jumaat sekalipun,aku sanggup bersusah ke kampung sebelah untuk solat  Jumaat kerana aku masih terasa pedih dimarahi orang tua tersebut.

Empat tahun berlalu (2007). Aku pulang bercuti. Aku sebagai pelajar Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri pulang bermalam di rumah sendiri. Kebiasaannya,petang itu aku beriadah bersama adik-adik di kawasan lapang di hadapan rumah. Azan maghrib menjadi wisel penamat permainan kami. Tatkala azan berkumandang,tergerak hati untuk solat maghrib berjemaah di  masjid itu,yang sudah lama tidak menerima kunjunganku.

Usai solat maghrib, aku memandang sekeliling. Jemaah hari ini terdiri daripada generasi tua , remaja dan generasi kecil. Tiba-tiba,mataku terpandang orang tua itu. Dialah orang tua yang memarahiku empat tahun lalu. Saat ini,dia juga melakukan perkara yang sama, iaitu memarahi anak kecil yang berlari di dalam masjid lagi. Apakah perkara sama akan berulang kembali?

Empat tahun berlalu lagi (2011). Aku kini sudah bergelar siswa,penuntut Diploma Perakaunan di Institut pengajian tempatan.

Seperti kebiasaan,aku singgah untuk solat isyak berjemaah di masjid. Untuk pengetahuan semua, pahala solat isyak berjemaah sama seperti mengerjakan solat malam separuh malam berdasarkan sebuah hadis. Manakala pahala solat subuh berjemaah pula bersamaan mengerjakan solat malam sepanjang malam berdasarkan hadis yang sama. Selain itu,aku juga ingin memohon kunci dewan untuk program  yang akan diadakan tak lama lagi. Seusai solat Isyak,aku pergi untuk bertemu imam masjid.

Aku melihat setiausaha masjid sedang berbincang sesuatu dengan imam masjid. Rupanya,mereka berbincang tentang program yang akan dikendalikan aku bersama beberapa orang fasilitator tak lama lagi. Berlaku diskusi ringkas bahawa mereka tidak membenarkan peserta perempuan untuk tidur di masjid. Aduss,aku rasa macam nak menangis! Tinggal tiga hari lagi,tiba-tiba baru nak buat perubahan!

“Saya takut nanti mereka (merujuk kepada peserta) buat bising di masjid. Budak-budak lagi kan. Takut kamu susah nak urus la.” Kata Pengerusi masjid merangkap imam.

“Lagipun,tak ada ke ustaz-ustaz atau penceramah yang tolong urus program ni?” tambahnya.

“Tak ada,sebab kami sendiri pun tak cukup bajet. Jadi,takutlah kalau ustaz-ustaz yang dijemput kenakan caj. Jangan risau,saya pernah buat kem ini sebelum ini dan saya yakin, ianya akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.”  Terang aku panjang lebar.

“Saya takut peserta nanti ada yang  tidur di dalam tempat solat nanti,karpet kena air liur basi. Najis tu.” Kata pengerusi masjid.

Tiba-tiba,muazzin masjid datang menyampuk dengan nada menyindir,”Budak-budak zaman sekarang.”

Muazzin masjid mengulangi perkataan keramat ‘budak-budak zaman sekarang’ beberapa kali.  Aku cuba untuk bersabar demi meneruskan perbincangan dan akhirnya perbincangan itu berakhir dengan baik.

Persoalan yang ingin aku bangkitkan ialah, APA MASALAHNYA DENGAN BUDAK ZAMAN SEKARANG?

Apakah budak zaman sekarang mempunyai akhlak yang sangat teruk sehingga tidak layak untuk menjejak ke masjid/surau/musolla?
Aduss.. tolonglah..!

Fakta tentang budak zaman sekarang.

Kami berfikiran terbuka dan moden,tetapi kami tidak abaikan Islam

Sejujurnya,zaman kami dan anda mungkin berbeza. Kami dibesarkan di dalam zaman internet dan kami didedahkan dengan pelbagai pemikiran yang mungkin membuatkan tahap pemikiran kita mungkin berbeza. Walaupun kami berfikiran moden dan terbuka,itu tidak bermakna kami tidak mengambil berat tentang Islam. Kami juga mengambil berat tentang islam kerana kami mahukan kejayaan untuk Islam. Rasullullah pernah bersabda “Islam itu pasti akan menang.” Maka kita lah yang akan mencipta kemenangan buat Islam. Kita akan berganding bahu untuk mencipta kejayaan itu. Jadi tolonglah,tolonglah terima perbezaan pendapat antara kita. Jangan terus menghentam idea kami seolah-olah kami ini generasi yang mementingkan hal ehwal duniawi sahaja.

 

Idea kami adalah idea transformasi.

Kami generasi muda mahu melakukan transformasi. Transformasi yang dimaksudkan bukanlah dari segi cara beribadat tetapi kami mahu melakukan transformasi dari aspek pemikiran. Haruslah difahami peranan masjid yang sebenarnya. Masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat beribadah sahaja, malah masjid dapat memainkan pelbagai fungsi yang saya kira dapat memberi manfaat yang banyak kepada ummah. Misalnya,masjid dapat digunakan sebagai sebagai tempat penyebaran ilmu pengetahuan. Misalnya, AJK masjid dapat mengambil alternatif dengan menubuhkan kelas matematik, kelas sejarah, kelas sains di masjid. Pelbagai alternantif harus diambil dan difikirkan untuk menarik orang ramai ke masjid. Saya memuji cara yang diambil oleh sebuah masjid di negeri Kedah yang menganjurkan aktiviti beriadah bersama ahli kariah selepas solat Subuh. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mengeratkan ukhuwah tetapi juga menggalakkan masyarakat untuk mengimarahkan masjid. Ingatlah,masjid bukan sekadar tempat ibadah!

 

Kami mahu melahirkan generasi mesra masjid, bukan generasi anti masjid.

Anda pergilah ke mana-mana masjid sekalipun di Malaysia ini. Setiap kali tibanya waktu solat, jemaah yang hadir adalah imam masjid, setiausaha masjid dan  beberapa orang ahli masjid yang memang sudah berumur. Definisi berumur ini saya takrifkan sebagai generasi yang berusia 40 an hingga 50 an. Jadi, di mana hilangnya generasi muda ini? Di mana hilangnya mereka?  Apa usaha yang diambil oleh pihak masjid untuk mendekati golongan ini? Tiada! Tetapi,jika diteliti setiap masjid pastinya mempunyai biro tersendiri. Misalnya, di setiap masjid ada Biro Pendidikan, Biro Pemuda , Biro Dakwah dan sebagainya. Apakah peranan biro-biro yang ditubuhkan ini? Adakah sekadar memenuhi tempat kosong yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam ? Jika begitu,bermewahlah dengan jawatan tersebut dan jika di akhirat  Allah bertanya apa jasamu kepada ummah dengan jawatan yang diberi kepadamu? Maka menangislah kerana kamu tidak melakukan barang  sesuatu pun untuk ummah!!

Justeru,laksanakanlah pendekatan bermanfaat yang akan menggalakkan masyarakat untuk  mencintai masjid,bukan membenci masjid. Misalnya,anjurkan kem-kem selama tiga hari dan dua malam di masjid, menganjurkan pertandingan futsal di kalangan belia, menganjurkan pertandingan tilawah Al Quran, mengalunkan azan dan bernasyid. Malah, banyak lagi aktiviti yang dapat kita laksanakan. Berfikir di luar kebiasaan!!

Bukan semua kaca itu selamanya kaca.

Kaca yang pecah,sering kita buang. Sedangkan kaca yang pecah itu dapat dikitar semula. Parang yang tumpul jika diasah akan semakin tajam.  Ini adalah satu falsafah bahawa manusia memerlukan masa untuk memperbaiki diri dan apabila ada yang ingin berubah ke arah kebenaran. Berilah peluang dan jangan kita pula yang menghentam dia. Misalnya,masyarakat melayu mempunyai sikap yang mengjengkelkan terhadap individu seperti ini. Apabila seseorang yang dahulunya tidak pernah solat sepanjang hidupnya, dan tiba-tiba hari ini, beliau ke masjid. Pandangan pertama yang akan dilemparkan ialah “Eh,dah dapat hidayah ke bang?”

Jadi,bagaimana kita mahu menciptakan kegemilangan islam jika insan yang mahu berubah kita perli dan kita sindir? Adus, tolonglah ubah pemikiran kita!   Bukan semua kaca yang pecah itu selamanya tidak berguna! Dan tolong jangan berpandangan bahawa kita lebih baik dari dia! Kerana itu beerti kita sudah sombong dengan Allah! Takbur dengan diri sendiri!

Artikel ini tidak pernah berniat hendak mengaibkan sesiapa, tetapi untuk memberi peluang untuk kita sama-sama muhasabah diri. Aku tahu,cetusan pemikiran ini tidak akan sampai dibaca oleh mana-mana AJK masjid sekalipun. Namun,jika anda yang membaca artikel ini, mungkin aku dan anda akan ditakdirkan terpilih untuk memegang amanah Allah sebagai AJK masjid. Maka ingatlah kepada artikel ini. Terimalah perubahan yang dicetuskan oleh generasi muda dan janganlah merasa diri kita lebih baik.

Ingat beberapa fakta :

i.            Transformasi politik di Mesir dicetuskan oleh generasi muda, bukan generasi muda.

ii.            Kegemilangan Islam sejak zaman dahulu kala, dicetuskan oleh generasi muda. Misalnya Sultan Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan Kota Konstantinopel pada usia 20 an. Bahkan Sultan Salahuddin Al Ayubi juga merupakan seorang remaja sewaktu memerintah Mesir.

Renungkan :

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan ; ‘kami telah beriman.’ Sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang yang dusta.”

QS Al Ankabut : 2-3

3 thoughts on “Kami budak zaman sekarang

  1. assalamualaikum………….alhamdulillah…
    bagus2, semoga membuka mata hati mereka2 yang tidak mahukan perubahan didalam uslub dakwah, moga ALLAH memberkati…..

  2. assalamualaikum.., anda seorang yang sangat bagus dalam berkongsi pendapat dengan cara yang ringkas namun mudah difahami. ya, inilah fenomena yang sering berlaku sekarang nih…, generasi tua lebih tertumpu pada kesalahan yang sering dilakukan dan tak fikir akan kebaikan yang ada pada budak zaman sekarang. moga dengan perkongsian pendapat ini, dapat merubah fikiran golongan tua terhadap budak zaman sekarang.🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s