Buku Pilihan:Formula solat sempurna

Tajuk                                        : Formula Solat Sempurna.

Pengarang                                 : Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Halaman                                   : 174 mukasurat.

Terbitan                                   : Telaga Biru Sdn. Bhd.

Semua orang Islam sedia maklum bahawa ibadah solat merupakan ibadah khusus yang sangat penting di dalam ajaran Islam. Solat merupakan tiang agama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia sudah menegakkan agama dan barangsiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya dia meruntuhkan agama” . Ibadah solat juga merupakan ibadah yang paling awal ditanya oleh Allah di Akhirat kelak. Jika Solatnya sempurna maka pahala amalan yang lain juga sempurna. Jika solat tidak sempurna maka cacatlah pahala amalan yang lain.

Sejak kita kecil hingga besar, kita di ajar solat oleh ustaz dan ustazah. Dari Wuduk hinggalah ke praktikal solat. Saya masih ingat bagaimana seorang ustaz saya mendenda saya dan rakan berdiri atas kerusi hanya kerana tidak menghafal niat solat.

Bila mula menjejak dewasa dan peluang untuk mendalami ilmu barulah persoalan sumber dan dalil dibentangkan kepada kita. itupun bagi yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah. Bagi orang awam seperti saya, ilmu mengenai solat dan kesempurnaanya hanya dapat ketika kuliah agama di masjid dan surau serta melalui bacaan buku.

Dengan terbitnya buku ‘Formula Solat Sempurna’ hasil tulisan Ustaz Zaharuddin ini amat tepat masanya di saat orang Islam memerlukan buku ilmiah berkenaan ibadah khususnya ibadah solat. Buku berkenaan ibadah solat dan cara melaksanakannya banyak di dalam pasaran.

Namun begitu terdapat beberapa keistimewaan buku ini berbanding buku lain :

1) Buku ini ditulis secara separa ilmiah bersandarkan kefahaman dalil-dalil asas dan pandangan ulamak daripada pelbagai mazhab dan zaman. Walupun buku ini padat dengan dalil dan pandangan ulamak, ia amat mudah difahami khususnya bagi pembaca yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang syariah. Selain itu, dalil-dalil yang dibentangkan dan dibahaskan didalam buku ini dapat dijadikan hujah dan sumber pegangan khususnya di dalam ibadat solat.

2) Persoalan solat dibincangkan secara terperinci daripada berwuduk, berdiri tegak hinggalah kepada memberi salam. Dicelah-celah perbincangan ada disebut mengenai pelbagai persoalan dan permasalahan mengenai ketepatan perlakuan solat. Contohnya jarak antara 2 kaki ketika berdiri tegak dan cara mengangkat takbiratulihram, yang mana dicatatkan terdapat 3 cara mengangkat tangan yang betul iaitu paras bahu, di telinga dan ibu jari paras bawah telinga. Persoalan baca Basmalah sebelum al-Fatihah kuat atau perlahan, adakah lutut atau tangan terlebih dahulu mencecah tanah semasa turun sujud? dan sebutan ‘saidina‘ semasa membaca selawat ke atas Nabi s.a.w ketika Tasyahud Akhir adalah contoh lain seputar permasalahan solat yang sering orang Islam lakukan ketika solat.

3) Dipaparkan di dalam buku ini gambar yang menunjukkan pergerakan solat yang betul dan tepat.

4) Walaupun buku ini ditulis mengikut Mazhab Syafie, penulis juga ada memaparkan pandangan daripada mazhab lain (Hanafi, Maliki dan Hambali) khususnya dalam perkara-perkara sunat. Disini penulis akan membentangkan pandangan mazhab dan kemudiannya menyimpulkan pandangan mana yang boleh dipegang dan dijadikan amalan.

5) Selain membincangkan solat dan isu seputar dengannya, buku ini juga membincangkan mengenai khusyuk dalam solat dan cara untuk memperolehi khusyuk ketika solat. Ini kerana khusyuk merupakan inti dalam solat.

6) Walaupun berlaku pertembungan pandangan mazhab di dalam persoalan solat, penulis tidak membahaskan mengenainya di dalam buku ini. Penulis sering menegaskan bahawa ‘dari setiap lembaran buku, jika terdapat sebarang fakta yang anda tidak bersetujui, tinggalkan ia dan ambillah yang anda setujui’.

7) Yang paling penting, buku ini sesuai dengan semua peringkat umur dan tahap pendidikan. Ini kerana buku ini bukan sahaja dituju kepada kanak-kanak malah orang dewasa juga. Cara penyampaian buku ini mudah dan ringkas hingga orang yang mempunyai ilmu syariah tahap minimum pun dapat memahami dengan baik.

Petikan Belakang Buku ini :-

“Formula Solat sempurna ini menjelaskan kepada pembaca dengan pendekatan mudah dan mantap berkenaan cara menunaikan solat secara lebih sempurna iaitu dengan menggabungkan amalan-amalan sunat dalam solat berserta rukun dan syaratnya.

Keistimewaan buku ini terletak pada kupasan ringkas dan padat hasil kajian mendalam daripada kitab-kitab turath silam dan kontemporari. Penulis membawakan nas-nas yang dikira terbaik dari hasil nukilan ijtihad para ulama hadis dan semasa.

Aspek ini menjadikan ia sebuah buku yang amat sesuai buat semua lapisan masyarakat dan latar belakang, Hinggakan mereka yang mempunyai kefahaman Syariah yang minimum juga mampu memahami ulasan di dalam buku ini dengan baik. Demikian juga mereka yang khusus dalam pengajian ilmu Syariah juga diyakini akan mendapat sesuatu yang menarik daripada buku ini. Kandungan buku ini disusun dalam bentuk menarik mengikut kronologi pergerakan solat dan kemudian disusuli dengan nas-nas warid dari Nabi s.a.w. Seterusnya huraian amat berguna berkaitan khusyuk, masalah dan puncda kehilangannya dewasa ini.

Agak sukar ditemui sebuah buku yang merawat pelbagai isu solat dalam bentuk komprehensif, padat beserta dalil sebegini. Ini menjadikan buku di hadapan  anda ini begitu istimewa dan mesti dimiliki oleh semua lapisan masyarakat sama ada pelajar, ulama, ahli akademik, orang ramai, dan bagi semua yang ingin mengaudit solat mereka sama ada menuruti mazhab Syafie atau lainnya.”

Pada pendapat saya, buku ini amat penting bagi sesiapa yang ingin memperbaiki kualiti solatnya. Semoga buku ini dapat menjadi panduan untuk kita mengerjakan solat dengan lebih sempurna demi mendapat keredhaanNya, InsyaAllah.

dipetik dari KLIK

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s