Kejatuhan Daulah Uthmaniah-Sultan Abdul Hamid II

Anakku, ayah melihat orang-orang di sini sudah mulai memuji paras rupa dan kecantikanmu. Maka mulai hari ini ayah ingin kamu mengenakan hijab dengan sempurna, kerana kamu sudah menjadi wanita dewasa sekarang.”

Sultan Abdul Hamid II

Ungkapan kata penuh kasih sayang itu dituturkan dengan suara lembut oleh Sultan Abdul Hamid II kepada anaknya Aishah saat mereka melintasi hadapan Masjid Hamidiye Yildiz yang terletak tidak jauh dari pintu masuk istananya.

Di hadapan masjid ini, terlalu banyak kisah yang memilukan hati menimpa diri dan keluarga Sultan. Percubaan pembunuhan dengan meletakkan bom di dalam kereta kuda Sultan. Pengeboman itu terjadi selang beberapa saat seusai solat Jumaat. Allah masih menghendaki Sultan Abdul Hamid tetap bertakhta memimpin umat. Usaha khianat untuk menamatkan nyawa orang nombor satu di dunia Islam itu telah gagal.

Di hadapan istana ini, Sultan sering melaksanakan solat dan keluar menemui rakyat yang selalu dekat di hatinya.

Di situ juga, Sultan sesekali menunggang kuda ditemani anaknya Aishah, sambil menitahkan erti pentingnya menegakkan syariah bagi muslimah. Sejak saat itu anaknya mutahajibah (berhijab) sempurna, ini menandakan puterinya Aishah Osmanuglu telah memasuki usia aqil baligh.

Istana Yildiz yang diperbuat dari kayu ini adalah tempat tinggal pilihan Sultan Abdul Hamid II, setelah beliau meninggalkan segala bentuk kemewahan kaum keluarganya yang sebelum ini di Istana Dolmabahce.

Sultan Abdul Hamid II, lahir pada hari Rabu, 21 September 1842. Dengan nama lengkapnya, Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan. Sultan adalah putera Abdul Majid dari isteri kedua beliau. Ibunya meninggal saat Abdul Hamid berusia 7 tahun. Sultan menguasai bahasa Turki, Arab, dan Parsi. Gemar membaca dan bersyair.

Sebelumnya, kekhalifahan dipimpin bapa saudaranya iaitu Abdul Aziz yang berkuasa cukup lama. Sultan Abdul Aziz digulingkan kemudian dibunuh oleh musuh politik Khilafah Utsmaniyyah. Khalifah setelah Abdul Aziz adalah Sultan Murad V, putera Abdul Aziz. Namun kekuasaannya tidak berlangsung lama dan digulingkan setelah 93 hari berkuasa kerana dianggap tidak upaya menjadi khalifah.

Sultan Abdul Aziz mewariskan negara dalam keadaan hiruk pikuk dan tidak terurus. Tunggakkan hutang luar negeri, parlimen yang tidak berfungsi, campur tangan asing di dalam negeri, tarik menarik antara pelbagai kepentingan Dewan Negara dan Dewan Menteri serta para ahli politik yang korup.

Pada 14 Ogos 1876 (1293 H), Sultan Abdul Hamid dibai’at sebagai Khalifah. Saat itu usianya 34 tahun. Dia menyedari bahawa pembunuhan bapa saudaranya serta perubahan-perubahan kekuasaan yang terjadi saat itu merupakan konspirasi global melawan Khilafah Islamiyah. Namun Sultan Abdul Hamid II dapat menjalankan pemerintahannya dengan baik, sering berbicara dengan pelbagai lapisan masyarakat, baik kalangan ahli politik , intelektual, rakyat jelata mahupun dari kelompok-kelompok yang kurang disukainya (lihat Shaw, 1977:212).

Kebijaksanaannya mengurusi urusan seluruh kaum Muslimin membuatkan ia semakin popular. Namanya sering disebut dalam doa-doa di setiap solat Jumaat di seantero bumi. Sokongan padu kaum Muslimin dan kesetiaan mereka terhadap Sultan Abdul Hamid II ini berhasil mengurangi tekanan Eropah terhadap Utsmaniyyah.

Abdul Hamid mengembangkan amanah dengan memimpin sebuah kerajaan yang luasnya membentang dari timur dan barat. Di tengah situasi negara yang genting dan kritis. Beliau menghabiskan 30 tahun kekuasaannya sebagai Khalifah dengan dikelilingi konspirasi, mehnah, fitnah dari dalam negeri sementara dari luar negeri ada perang, revolusi, dan ancaman globalisasi dan tuntutan pelbagai perubahan yang senantiasa terjadi.

Termasuk usaha jahat yang sistematik yang dilakukan kaum Yahudi untuk mendapatkan tempat tinggal tetap di tanah Palestin yang masih menjadi sebahagian dari wilayah kekhalifahan Utsmaniyyah. Pelbagai langkah dan strategi dilancarkan oleh kaum Yahudi untuk menembus dinding khilafah Utsmaniyyah, agar mereka dapat memasuki Palestin.

Pertama, pada tahun 1892, sekelompok Yahudi Rusia mengajukan permohonan kepada Sultan Abdul Hamid, untuk mendapatkan keizinan tinggal di Palestin. Permohonan itu dijawab Sultan dengan ucapan

“Pemerintan Ustmaniyyah memaklumkan kepada seluruh kaum Yahudi yang ingin hijrah ke Turki, bahawa mereka tidak akan diizinkan menetap di Palestin”, mendengar jawaban seperti itu kaum Yahudi amat kecewa, sehingga duta besar Amerika turut campur tangan.

Kedua, Theodor Hertzl, penulis Der Judenstaat (Negara Yahudi), pengasas negara Israel sekarang, pada tahun 1896 memberanikan diri menemui Sultan Abdul Hamid sambil meminta izin mendirikan perniagaan di al Quds. Permohonan itu dijawab Sultan:

“Sesungguhnya jajahan Utsmani ini adalah milik rakyatnya. Mereka tidak akan menyetujui permintaan itu. Sebab itu simpanlah kekayaan kalian itu dalam kantung kalian sendiri”.

Melihat keteguhan Sultan, mereka kemudian membuat strategi ketiga, iaitu melakukan Konferensi Basel di Switzerland, pada 29-31 Ogos 1897 dalam rangka merumuskan strategi baru menghancurkan Khilafah Ustmaniyyah.

Oleh kerana peranan dan aktiviti Yahudi Zionis yang terlalu mendesak dan semakin menjadi-jadi, akhirnya Sultan pada tahun 1900 mengeluarkan keputusan pelarangan atas rombongan penziarah Yahudi di Palestin untuk tinggal di sana lebih dari tiga bulan, pasport Yahudi harus diserahkan kepada petugas khilafah yang berkaitan. Dan pada tahun 1901 Sultan mengeluarkan keputusan mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi di Palestin.

Pada tahun 1902, Hertzl untuk kesekian kalinya mengadap Sultan Abdul Hamid untuk melakukan penyogokan (rasuah). Di antara sogokkan yang Hertzl tawarkan kepada Sultan adalah :1. 150 juta poundsterling Inggeris khusus untuk Sultan.

2. Membayar semua hutang pemerintah Ustmaniyyah yang mencapai 33 juta poundsterling Inggeris.

3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan biaya 120 juta Frank

4. Memberi pinjaman 5 juta poundsterling tanpa bunga.

5. Membangunkan Universiti Ustmaniyyah di Palestin.

Semuanya ditolak Sultan, bahkan Sultan tidak mahu menemui Hertzl, diwakilkan kepada Tahsin Basya, Perdana Menterinya, sambil menberikan pesanan, “Nasihati Mr Hertzl agar jangan meneruskan rancangnya. Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka. Jika Khilafah Utsmaniyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup.”

Sejak saat itu kaum Yahudi dengan Zionisme melancarkan gerakan untuk menumbangkan Sultan. Dengan menggunakan pelbagai kempen dan istilah seperti “liberation”, “freedom”, dan sebagainya, mereka menyebut pemerintahan Abdul Hamid II sebagai “Hamidian Absolutism”, dan sebagainya.

“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja akuberhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah Khalifah yang bertanggungjawab atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul!” Tulis Sultan Abdul Hamid dalam catatan hariannya.

Pada malam 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya didatangi beberapa orang tamu yang tidak di undang. Kedatangan mereka ke Istana Yildiz menjadi catatan sejarah yang tidak akan pernah dilupakan. Mereka datang atas nama perwakilan 240 anggota Parlimen Utsmaniyyah-di bawah tekanan dari Turki Muda-yang setuju penggulingan Abdul Hamid II dari kekuasaannya. Senator Sheikh Hamdi Afandi Mali mengeluarkan fatwa tentang penggulingan tersebut, dan akhirnya dipersetujui oleh anggota senat yang lain. Fatwa tersebut didapati sangat aneh dan setiap orang pasti mengetahui track record perjuangan Abdul Hamid II bahawa fatwa tersebut bertentangan dengan realiti sebenar yang berlaku di Turki dan empayar kerajaan Islam.

Keempat utusan itu adalah Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Utsmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersamanya adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga panglima Ketenteraan Utsmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan.

“Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus menunaikan kewajibanku terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian bicarakan masalah ini esok pagi?” Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tiba-tiba dan mendesak. Tidak ada simpati di raut wajah mereka.

“Negara telah memecat Anda!” Esat Pasha memberitahu kedatangannya dengan nada angkuh. Kemudian satu persatu wajah anggota rombongan itu diperhatikan dengan saksama oleh Sultan.

“Negara telah memecatku, itu tidak ada masalah,…. tetapi kenapa kalian membawa serta Yahudi ini masuk ke tempatku?” Spontan Sultan murka yang amat sangat sambil menudingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dialah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika ingin mendapatkan keizinan menempatkan Yahudi di Palestin. Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tempat pemukiman Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermukim di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat riwayatnya.

Jelas terlihat bahawa saat tersebut adalah saat pembalasan paling dinanti oleh Yahudi, di mana Abdul Hamid II yang telah menolak menjual Palestin pada mereka, telah mereka tunjukkan di depan muka Abdul Hamid II sendiri bahawa mereka turut serta dalam penggulingannya dari kekuasaan. Mendung menyeluputi wajah Abdul Hamid II dan wajah Khilafah Islamiyah.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menyampaikan berita penggulinganku malam itu.” Sultan Abdul Hamid meluapkan derita hatinya di dalam catatan hariannya.

Perancangan menggulingkan Sultan sebenarnya sudah dilaksanakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat belakangan sebelum peristiwa hitam itu, nama Sultan sudah tidak disebut lagi di dalam khutbah-khutbah.

“Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan kami.” Esat Pasha menyambung pembicaraan.Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puterinya yang terpaksa menyaksikan pengkhianatan terhadap dirinya. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian yang memilukan malam itu.

“Bawa adik-adikmu ke dalam.” Sultan Abdul Hamid menyuruhh Amir Abdul Rahim membawa adik-adiknya ke dalam kamar.

“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma satu hal yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai ayah perlu menyekolahkan mereka.” Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Sultan sedar akan tidak ada gunanya membantah keputusan yang dibawa rombongan itu. Itulah kerisauan terakhir Sultan Abdul Hamid. Membayangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan.

Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat orang itu. Malam itu juga, Sultan bersama para anggota keluarganya dengan hanya mengenakan pakaian yang yang di pakai pada malam tersebut di angkut di tengah gelap gelita menuju ke stesyen kereta api Sirkeci. Mereka diusir pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana milik Yahudi di Salonika, tempat pengasingan negara sebelum seluruh khalifah dimusnahkan di tangan musuh Allah.

Khalifah terakhir umat Islam, dan keluarganya itu dibuang ke Salonika, Yunani. Angin lesu bertiup bersama gerimis salju di malam itu. Pohon-pohon yang tinggal rangka, seakan turut sedih mengiringi tragedi memilukan itu.

Di Eminonu, terlihat Galata di seberang teluk sedih. Bukit itu pernah menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang telah menarik 70 kapal menyeberangi bukit itu dalam tempoh satu malam. Mereka menerobos teluk Bosphorus yang telah dirantai pintu masuknya oleh Kaisar Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Tidak akan pernah hilang.

Terhadap peristiwa pemecatannya, Sultan Abdul Hamid II mengungkap kegundahan hatinya yang dituangkan dalam surat kepada salah seorang gurunya Syekh Mahmud Abu Shamad yang berbunyi:

“Saya meninggalkan kekhalifahan bukan kerana suatu sebab tertentu, melainkan kerana tipu daya dengan pelbagai tekanan dan ancaman dari para tokoh Organisasi Persatuan yang dikenal dengan sebutan Cun Turk (Jeune Turk), sehingga dengan berat hati dan terpaksa saya meninggalkan kekhalifahan itu. Sebelumnya, organisasi ini telah mendesak saya berulang-ulang agar menyetujui dibentuknya sebuah negara nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin. Saya tetap tidak menyetujui permohonan tersebut yang datang bertubi-tubi tanpa ada rasa malu Akhirnya mereka menjanjikan wang sebesar 150 juta pounsterling emas.

Saya tetap dengan tegas menolak tawaran itu. Saya menjawab dengan mengatakan, “Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menerima tawaran itu. Tiga puluh tahun lebih aku hidup mengabdi kepada kaum Muslimin dan kepada Islam itu sendiri. Aku tidak akan mencoreng lembaran sejarah Islam yang telah dirintis oleh nenek moyangku, para Sultan dan Khalifah Uthmaniah. Sekali lagi aku tidak akan menerima tawaran kalian.”

Setelah mendengar dan mengetahui sikap dari jawaban saya itu, mereka dengan kekuatan gerakan rahsianya memaksa saya meninggalkan kekhalifahan, dan mengancam akan mengasingkan saya di Salonika. Maka terpaksa saya menerima keputusan itu daripada menyetujui permintaan mereka.

Saya banyak bersyukur kepada Allah, kerana saya menolak untuk mencoreng Daulah Uthmaniah, dan dunia Islam pada umumnya dengan noda abadi yang diakibatkan oleh berdirinya negeri Yahudi di tanah Palestin. Biarlah semua berlalu. Saya tidak bosan-bosan mengulang rasa syukur kepada Allah Ta’ala, yang telah menyelamatkan kita dari aib besar itu.

Saya rasa cukup di sini apa yang perlu saya sampaikan dan sudilah Anda dan segenap ikhwan menerima salam hormat saya. Guruku yang mulia. mungkin sudah terlalu banyak yang saya sampaikan. Harapan saya, semoga Anda beserta jama’ah yang anda dapat memaklumi semua itu.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

22 September 1909

(Tandatangan Khalifah)

Pelayan Kaum Muslimin

(Abdul Hamid bin Abdul Majid)

Deru langkah tentara kedengaran melangkah menuju istana. Meriam ditembakkan sebagai tanda Sultan Mehmed V dinobatkan menjadi penguasa Utsmaniyyah. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V menjadi Khalifahke 99 umat Islam sejak Abu Bakr al-Siddiq ra. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tidak memiliki kekuasaan apa-apa. Hanya boneka pengumpan yang hanya akan mempercepatkan pemberontakan untuk pembubaran Khilafah Utsmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku merasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini mengendap di dadaku, ketika diangkat terasa lega!” keluh Sultan Abdul Hamid

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika Yunani penuh misteri.

“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua.” Sultan Abdul Hamid memberi motivasi kepada seluruh kerabatnya saat keretapi sedang meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Utsman, berakhir malam itu. Balutan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.

Di tengah suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas bangku kereta api sambil dipicit-picit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini.” Sultan mengusap wajahnya yang berlinangan air mata.

Terlalu lama Sultan dan keluarganya dikurung di istana milik Yahudi itu. Mereka dikurung dalam kamar tanpa perabotan sama sekali. Pintu dan jendela dilarang dibuka. Hari demi hari, adalah penantian kematian sebelum mati bagi Sultan dan keluarganya. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dihantar pulang ke Istanbul, akan tetapi anak-anaknya dipisah-pisahkan, bercerai berai. Dibuang ke Perancis menjadi pengemis yang hidup meminta-minta di lorong jalan.

Keadaan semasa di pembuangan Salonika atau di istana tua Beylerbeyi Istanbul sama saja bahkan lebih parah. Sultan dan beberapa anggota keluarganya yang masih tinggal tidak dibenarkan keluar sama sekali hatta sekadar pergi ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar istana, tentunya dengan penjagaan yang amat ketat. Makanan untuk Sultan dan putera puterinya disukat sedemikian rupa, dengan kualiti makanan yang sangat rendah bahkan seluruh hartanya dirampas habis oleh tentera Ataturk.

Hari-hari yang dilalui Sultan dalam pembuangan dan pengasingan sangat menyedihkan. Dia dan keluarganya selalu diancam akan dibunuh, istana tua itu akan diledakkan. Pada suatu pagi selesai solat Subuh, Sultan memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah ahli waris terpenting setelah ketiadaan Sultan nanti.

“Kita akan berikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana mereka memaksa kita menyerahkannya.” Keluh Sultan kepada Abdul Rahman dengan nada sedih.

Puteranya itu menangis teresak hebat. Dia menjadi amat takut dengan para tentera yang bengis itu. Beberapa hari kemudian di lobi Deutche Bank, Istanbul, terjadi peristiwa penyerahan secara paksa semua harta Sultan, termasuk seluruh tabungan Sultan kepada pihak tentera.

Sultan tinggal di istana tua sebagai penjara di Beylerbeyi selama 6 tahun dalam situasi yang sangat mengaibkan. Tubuh kurus kering dan mengidap penyakit paru-paru yang semakin parah. Sultan benar-benar dikuarantinkan dari dunia luar, sehinggakan untuk mengubati penyakit disukarkan oleh pihak tentera.

“Maafkan saya, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal,” doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid sambil berbisik. Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asmanya semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Sultan Abdul Hamid II menghembuskan nafas terakhir dalam penjara Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar. Akibat kebodohan mereka membiarkan Khilafah Utsmaniyyah dilumpuhkan setelah pelucutan jabatan khilafahnya, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu. Wa…Islama!!!

Sumber; Harb, Muhammad (1998). Catatan Harian Sultan Abdul Hamid II. Darul Qalam, ; Asy-Syalabi, Ali Muhammad (2003). Bangkit dan Runtuhnya Khilafah ‘Utsmaniyah. Pustaka Al-Kautsar, 403-425.

Nota aeizat;Ucapan Sultan Hamid telah diabadikan di dalam ladu Soldier Of Allah

4 thoughts on “Kejatuhan Daulah Uthmaniah-Sultan Abdul Hamid II

    • karya yang cukup bagus. kepada penulis pada pandangan anda adakah rakyat turki menyesal dengan apa yang berlaku atau mereka tidak menyesalinya jika mereka menyesalinya mengapa turki sekarang tidak mahu mengamalkan cara pemerintahan islam seperti dulu wujudkan kembali khalifah walau hanya di bumi turki?

  1. apepun, artikel ini sungguh bagus. berbaloi untuk dibaca.

    “Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.”
    SULTAN ABDUL HAMID II:Dari Istana Yildiz ke Pembuangan di Salonika

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s