Mengungguli semangat Kebangkitan Umat Islam

Misi menyelamatkan Al Aqsa

Mengungguli Semangat Kebangkitan Umat Islam

Penulis:Syafiq Aizat Mahamad Fuad

Kolej Profesional MARA Bandar Penawar

Saat ini,rencana tentang penderitaan Gaza tidak lagi mengisi dada-dada akhbar.Demam Piala Dunia yang baru sahaja berakhir benar-benar memainkan peranannya menyembunyikan keganasan Israel di Palestin.Seluruh mata dunia yang asalnya tertumpu di Gaza kerana serangan tidak bermoral Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan,Mavi Marmara terus beralih ke Afrika Selatan hingga melupakan terus luka Palestin tanpa mengubatinya langsung.Lantas kini,siapakah yang sanggup syahid demi membela nasib saudara kita di Gaza?

Isu kekejaman Israel ke atas Palestin bukanlah sesuatu yang baru.Bahkan,isu ini juga bukan isu yang telah lapuk ditelan zaman.Sebaliknya,isu ini merupakan isu kontemporari yang sentiasa bermain dalam fikiran seorang Muslim yang cintakan saudaranya sebagaimana sabda Baginda Rasullullah S.A.W.,“Tidak sempurna iman seseorang kamu itu, sehinggalah ia mengasihi saudaranya sama seperti dia mengasihi dirinya sendiri.”

Persoalan utama ialah,apa yang perlu kita lakukan demi menyelamatkan Al Aqsa?Apakah sekadar melancarkan boikot produk Israel?Cukupkah sekadar membakar bendera milik negara haram Israel?Adakah dengan mengadakan konvoi jelajah seluruh negara mampu menghalau Israel dari Palestin?Apakah yang harus dilakukan?Berapakah jumlah dana yang perlu disalurkan demi membantu Palestin?Semua itu perlu,tetapi ada sesuatu yang lebih penting.Apakah komponen terpenting itu?

Seorang Rabbi Yahudi pernah berkata,”Tidak ada ketakutan pada umat islam melainkan tiba saatnya jumlah jemaah solat subuh bersamaan dengan jumlah jemaah solat jumaat.”Nah,inilah jawapannya!

Demi mengungguli semangat kebangkitan umat islam untuk membebaskan Gaza,perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah dengan memantapkan iman dan menetapkan taqwa yang benar-benar kukuh di dalam segenap jiwa umat islam.Tetapi,bagaimanakah cara untuk melaksanakannya?

Komponen pertama yang perlu diberikan perhatian ialah memandu jiwa setiap muslim ke arah memperoleh redha Allah S.W.T. melalui pengamalan solat yang telah kian lama ditinggalkan.Solat terbukti berjaya melahirkan generasi islam yang berjaya secara holistik.Bukti yang paling jelas dapat dilihat melalui kejayaan Sultan Muhammad Al Fateh dan angkatan tenteranya yang berjaya menawan Konstantinopel.Pemimpin dan tentera yang menawan Konstantinopel itu merupakan sebaik-baik tentera yang tidak pernah meninggalkan solat sejak mencapai akil baligh.Sewaktu solat jumaat pertama hendak didirikan di Masjid Aya Sophia,timbul pertanyaan siapakah yang paling layak untuk mengimami solat Jumaat pertama di masjid tersebut.

Lantas,Sultan Muhammad memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri lantas mengemukakan soalan.

“Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”.

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”.

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi,

“Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al fateh sendiri.

Inilah bukti paling jelas betapa pentingnya solat dalam memacu kejayaan ummah dan demi mengungguli semangat kebangkitan umat islam untuk membebaskan Palestin. Melihat persepsi masyarakat islam sedunia hari ini,solat dianggap sebagai bekalan yang hanya perlu dicari oleh insan yang meniti usia senja yang bakal melangkah ke alam barzakh.Solat diabaikan,Al Quran kita lupakan bahkan ulama kita benci.Tidak cukup dengan itu,ramai di kalangan kita yang hidup bertuhankan budaya Yahudi dan Nasrani.Usaha untuk menerapkan islam dalam kehidupan seharian ditentang habis-habisan.Apakah dengan mentaliti sebegini mampu untuk melahirkan generasi yang dapat membebaskan Al Quds?

Solusi terbaik untuk menyemarakkan semangat pembebasan Gaza,usaha pentarbiyahan hendaklah diperluaskan dan subjek utama seharusnya generasi muda kerana mereka merupakan generasi pemimpin masa depan.Program pemantapan iman dan aqidah hendak dilaksanakan secara menyeluruh dan setiap lapisan masyarakat perlulah memainkan obligasi masing-masing dalam usaha mencapai ambisi ini.Seterusnya,pemimpin-pemimpin negara islam pula dapat memainkan peranan mereka dengan bersatu suara dan menunjukkan ketegasan Islam dalam membantu membebaskan kiblat pertama umat islam.

Jika sekiranya bangsa Yahudi dimotivasikan oleh kitab Talmud mereka, umat Islam semestinya dimotivasikan dan dibangunkan jiwa mereka dengan kitab suci al-Quran.Pujian diberikan kepada beberapa golongan yang berusaha melahirkan generasi ulul Albab,yakni generasi yang berfikiran berasaskan Al Quran dan As Sunnah.Itulah solusi terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya serta tidak lagi diperkotak katikkan oleh musuh-musuh Islam.

Konklusinya,pemantapan iman dan aqidah melalui pengamalan solat itu penting dalam usaha menyemarakkan semangat membebaskan Palestin.Semoga kita akan dapat melahirkan generasi setegas Saidina Umar,sebijak Sultan Salahudin Al ayubi dan mempunyai sifat zuhud seperti Sultan Muhammad Al fateh demi membebaskan Al Quds.Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti berlaku, maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s