pertandingan pidato terbuka kolej mara dan koplej professional mara

Satu pertandingan Pidato bersempena Hari Kebangsaan telah diadakan di Kolej MARA Banting, Selangor pada 27 September 2009 bersamaan dengan 8 Syawal 1430 Hijrah. Walaupun suasana Syawal masih dirasa namun ini tidak menghalang pertandingan ini daripada diadakan. Pertandingan telah dijalankan di Dewan Besar Kolej MARA Banting. Pertandingan ini telah disertai oleh 9 peserta yang mewakili Kolej MARA dan Kolej Profesional MARA dari seluruh pelusuk tanah air. Pertandingan ini disertai oleh:

1. Maizatul Munira (KPM Ayer Molek)
2. Noralini (KPM Seri Iskandar)
3. Nor Hidayat (KPM Beranang)
4. Idris Mohd Asri (KPM Indera Mahkota)
5. Fatimah Az-Zahra (KM Seremban)
6. Mohd Hanif (KM Banting)
7. Siti Yusfa Azwa (KM Kulim)
8. Abdul Rahim (KM Kuala Nerang)
9 Syafiq Aizat Mahamad Fuad (KPM Bandar Penawar)

Pertandingan ini telah diadili oleh Saudara Syamsul Amri Hj Ismail (Presiden ADAM) dan Saudara Hanif Osman (Ahli MT ADAM). Johan pertandingan ini telah disandang oleh Mohd Hanif daripada KM Banting dengan 162 markah. Hanif menyampaikan pidato bertajuk “Satu Suara Satu Hati : Keranamu Malaysia”. Tempat kedua pula disandang oleh Idris Mohd Asri daripada KPM Indera Mahkota dengan 150 markah. Beliau membawakan tajuk “Wawasan Asas Kemajuan”. Manakala di tempat ketiga pula disandang oleh Nor Hidayat yang mewakili KPM Beranang dengan tajuk pidato nya “Bangsa Tegas Negara Teguh”. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya, dan kepada yang tewas cuba lagi di masa yang akan datang, mudah-mudahan anda semua beroleh kejayaan. BERITA DILAPORKAN OLEH : EDITOR

Para penonton sudah mulai masuk ke Dewan menantikan Pertandingan Pidato dimulakan
Pentas yang bakal menjadi medan pertandingan sebentar lagi

Peratndingan Pidato Bersempena Sambutan Kemerdekaan Ke – 52

Pertandingan ini diadili oleh Sdr. Syamsul dan Sdr Hanif, nama yang tidak asing dalam dunia Pidato dan Debat IPT

Peserta Pertama; Maizatul Munira (KPM Ayer Molek)

Noralini (KPM Seri Iskandar)

Nor Hidayat (KPM Beranang)

Idris Mohd Asri (KPM Indera Mahkota)

Fatimah Az-Zahra (KM Seremban)

Mohd Hanif (KM Banting)

Siti Yusfa Azura (KM Kulim) Syafiq Aizat Mahamad Fuad (KPM Bandar Penawar)

******************************************************************************
KOMENTAR HAKIM
================
Bagi peserta pertama, penggunaan fakta yang kurang. Terdapat penggunaan perkataan yang tidak betul diksi dan sebutannya. Contohnya “Lautan Atlantik” tetapi disebut “Atlantif”. Ada disebut tentang Pasaraya Carrefour, Tesco, tentang TM yang membuat usahasama dengan Jepun dan Australia, namun tidak dihuraikan menjadikan penyampaiannya ‘kelabu’. Kebanyakan isi tidak dihuraikan. Pemidato ini kelihatan kurang bersedia dengan penyampaian yang tersekat-sekat. Ini banyak memberi kesan dari segi pemarkahan. Kematangan isi juga terdapat kelonggaran kerana pemidato ini hanya menyampaikan pidato tanpa penghuraian yang jelas serta perkaitannya dengan tajuk tidak pula diperincikan.
Bagi peserta kedua, muqaddimah berbunga yang terlalu panjang, menyebabkan lewat tiba kepada isi. Penyampaiannya menarik dan kelihatan lancar namun, agak ketara teknik penghafalannya. Namun, itu tidak menjadi masalah, cuma penyampaiannya agak selanjar dari segi nada dan gaya suaranya, menyebabkan pidatonya menjadi biasa sahaja. Ada juga penggunaan kata kurang sesuai seperti “slogan propaganda 1 Malaysia”. Jika “Slogan 1 Malaysia” mungkin sesuai. Namun dengan penggunaan “propaganda” menjadikan ayat itu kurang sesuai memandangkan biasanya “propaganda” biasanya digunakan dengan maksud negatif. Namun saya yakin peserta kedua ini boleh pergi lebih jauh jika diperbaiki teknik pidatonya. Begitu juga penggunaan “Sense of Belong” yang sepatutnya disebut sebagai “sense of belonging”. Sekali lagi, hanya penyampaian huraian karangan tanpa ditunjukkan dengan jelas perkaitannya dengan tajuk.
Peserta ketiga; seperti biasa, banyak membuang masa dengan introduction. Terlalu panjang, tiadanya ringkasan (outline) tentang apa yang bakal disampaikan. Sedangkan ini lah dia teknikal penting dalam pidato. Ada sedikit penghuraian tentang Konsep 1 Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969, tetapi langsung tidak dikaitkan semula dengan tajuk yang disampaikan melalui penegasan disetiap tamat penghuraian setiap isi.
Peserta Keempat; Memiliki gaya yang sangat disenangi hakim, kelihatan agak “jantan” apabila berpidato. Cuma apabila sampai kepada isi, pemidato ini kelihatan terikat kepada teks pidatonya yang seolah-olah dibuat-buat penyampaiannya tanpa si pemidato memahami apa yang disampaikannya sendiri. Teknik ‘gap’ ketika menelan air liur juga kelihatan agak ketara yang sedikit mengganggu persembahan. Ada juga perkataan kurang sesuai digunakan seperti “tergelumang” yang sepatutnya “bergelumang”.
Peserta Kelima; terdapat penggunaan ayat kurang sesuai sebagai contoh “bila-bila, mana-mana dan siapa-siapa pun yang ….”. Memanglah seolah menarik perhatian bunyinya tetapi penggunaan yang salah tetap salah. Maka perlulah diperbaiki dari aspek ini. Isi kandungan yang dilontarkan juga kurang kemas dan agak berkeliaran (tanpa fokus) kepada tajuk. Namun permulaan peserta ini nampak kemas cuma apabila tiba kepada point-point yang ingin diutarakan, pemidato tiba-tiba ‘blank’ atau ‘blackout’ dan tercari-cari isi yang telah dicatat dalam nota yang dibawanya bersama di atas pentas. Inilah faktor yang menggagalkan kelancaran persembahan awal pemidato tadi. Barang diingat, apabila seseorang pemidato memegang nota ditangan, walau sekecil mana, walau tidak dirujuk sekali pun sehingga ke loceng penamat, sebenarnya ini melambangkan pemidato tidak yakin dengan isi yang bakal dipersembahkan.
Peserta keenam; Postur badan yang agak membelakang. Mengakibatkan apabila tangan dilapangkan ke bawah kelihatan seolah-olah terlentang. Itu dari sudut gaya. Cuma saya memuji dari segi kekemasan persembahan. Adanya outline iaitu penerangan ringkas tentang apa yang bakal disampaikan. Cuma di bahagian penutup tidak pula dinyatakan apakah yang telah disampaikan. Dan masalahnya, pemidato ini kemas namun, hanya membawakan dua isi. Walaupun berselirat, dua tetap dua. Dalam masa lapan minit, pemidato sebolehnya membawakan 4 atau 5 isi. Itu sebaiknya. Ada juga analogi yang gagal dikesan berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan. Katanya “Ah Meng sebagai penggubal, Raju sebagai penyokong dan Ahmad sebagai Pelaksana…” Kata-kata ini kurang sampai maksudnya. Apakah Ahmad sahaja yang akan melaksanakan Bahasa Kebangsaan ini. Dan yang lain hanya sebagai penyokong dan penggubal. Tidak tepat rasanya penyampaian sebegini. Perlu lebih pembacaan dan menghalusi isi.
Peserta Ketujuh; Tidak perlu dikomen banyak, cumanya, masalah ketara seolah pertandingan membaca. 98% persembahan adalah dengan membaca Teks. Tanpa perlu memujuk audien supaya mendengar. Kesimpulan untuk peserta ini perlu ubah cara penyampaian, dan lebih bersedia di masa hadapan.
Peserta Kelapan; Hujah dipersoalkan kerana tiada tag line yang jelas. Tiada huraian yang kena mengena secara langsung. Kelancaran tersekat-sekat. Dan penyampaian TERLALU laju. yang saya puji beliau berupaya menyampaikan sehingga 5 isi, tetapi penyampaian yang tidak kemas, tidak teratur lebih membayangi keseluruhan persembahannya. Isikandungannya diolah dengan keratif serta bait-bait ayat yang menarik cuma itulah…. ketidaklancaran, ketidak aturan lebih ketara di dalam persembahan pemidato ini. Jika pemidato ini lebih tenang dan relaks mungkin, keputusan hari ini boleh berubah.
Dan akhirnya peserta kesembilan. Persembahannya agak lemah, diksi serta sebutan yang yang dilontarkan agak kurang tepat dan tidak betul. Persembahan dan gaya nada suara mendatar dari mula hingga ke akhir dan kelihatan seolah tidak menguasai isi yang ingin disampaikan. Sehinggakan ada pernyataan yang dipersoalkan perkaitannya, sebagai contoh ” Sesungguhnya Nasionalisme mewujudkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang”. Sedangkan tajuk yang disampaikan menuntut beliau menghuraikan tentang “Nasionalisme Teras Perpaduan” dan tidak pula dihuraikan perkaitannya dengan tajuk. Mungkin maksud pemidato ini ialah apa bila generasi cemerlang, gemilang dan terbilang barulah perpaduan dapat diwujudkan. Mungkin begitulah agaknya… namun tidak dihuraikan maka tidak sampailah maksud keinginannya. Namun jikalau diukur dari segi sorakan penonton, mungkin pemidato terakhir ini paling menarik perhatian.
Secara keseluruhannya terdapat tiga aspek utama yang perlu diambil perhatian:
Pertamanya; gaya persembahan, janganlah terlalu ketat atau formal seperti pidato budak-budak sekolah. Biarlah lebih santai (tapi jangan terlalu). Jangan amalkan konsep menghafal. Kerana faham itu lebih baik daripada hafal tetapi tidak faham.
Keduanya; Teknikal. Ingat aturannya;
a) Introduction
b) Alu-Aluan
c) Tajuk
d) Definisi
e) Outline Isi
f) Isi (Setiap isi mestilah Lengkap dengan Tagline, Contoh, Fakta dan Analogi)
g) Kesimpulan (berserta dengan huraian ringkas berkenaan apa yang telah disampaikan tadi – secara ringkas!)
h) Penutup yang menarik supaya penonton tidak lupakan kita.
Teknikal ini menekankan rukun konsep pengucapan awam iaitu:
a) Beritahu APA yang ingin kita sampaikan
b) SAMPAIKAN; dan
c) Beritahu APA yang telah kita sampaikan.
Dan yang ketiga; Sebolehnya janganlah bawa teks di atas pentas. Walau sekecil manapun, kerana apabila nota ada di tangan kita, sampai bila pun kita tidak akan yakin untuk membuat persembahan dengan baik percayalah. Pengalaman saya di dalam bergelumang dengan kejuaraan Pidato sejak dahulu sehinggalah ke kejayaan anak-anak didik saya kini banyak mengajar saya akan hal ini. Percayalah, jika anda ingin pergi lebih jauh lagi ingatlah bahawa “Untuk berjaya, ubahlah pendekatan anda”. Yang berjaya bukanlah kerana anda terlalu baik, cuma yang lain mungkin lebih kurang baik daripada anda. Namun apapun ia tetap satu permulaan yang baik. Tahniah kepada yang berjaya mahupun yang belum berjaya.
Sekian dan Salam Aidil Fitri buat semua.
Ulasan Hakim ini diilhamkan menurut pandangan:

Syamsul Amri bin Hj Ismail
Presiden
Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (ADAM)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s