Dengan nama Allah yang Maha Genius. Semoga kalam ini memberi inspirasi di dalam mencipta kejayaan yang lebih cemerlang.
Allah SWT telah berfirman,
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. ”(Ali Imran / 3 : 110)
Sesungguhnya, saya ingin sekali digelar oleh Allah sebagai umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia iaitu, saya mengajak untuk berbuat kebaikan dan saya melarang berbuat kemungkaran. Kadang saya terfikir, bagaimanakah untuk menjadi ‘umat yang terbaik’?
Lalu, Allah ilhamkan kepada saya untuk berdakwah melalui kepimpinan. Misalnya, dengan melaksanakan program-program motivasi islami. Tetapi bagaimana?
Dari ZERO kepada HERO.
Untuk menjadi pemimpin yang hebat,anda harus menjadi pengikut yang maha hebat.
Kejayaan itu dicipta daripada asasnya. Tidak ada manusia yang dilahirkan, terus mencipta kejayaan tanpa melalui asas kegagalan. Seperti juga saya, yang mencipta jejak di dalam dunia ini sebagai peserta,sesuatu yang paling asas lalu mengubah destinasi sebagai fasilitator.
Saya mula mengikuti program-program samada berbentuk motivasi atau kerohanian ini sejak di tingkatan dua. Bermula sebagai peserta Seminar Kepimpinan Pengawas SMK Ayer Hitam, saya mencipta minat untuk mengikuti lebih banyak program-program motivasi. Hingga akhirnya saya diajak untuk menyertai Kem Minda Kreatif yang dianjurkan oleh Kelab Remaja HALUAN bertempat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Begitulah seterusnya, saya begitu aktif mengikuti program-program di seluruh negara. Hingga apabila sudah bergelar siswa, saya masih lagi aktif sebagai peserta.
Lalu, saya menaruh minat dan mula menjejak langkah ke dalam bidang kejurulatihan manusia dengan menjadi fasilitator. Alhamdullillah, saya telah meraih pelbagai pengalaman di dalam merencana dan menguruskan ragam manusia. Saya mula mengenalpasti teknik dan cara yang perlu dilakukan bagi meneutralkan ragam peserta yang pelbagai. Misalnya, jika seorang peserta itu menunjukkan respon yang negatif sepanjang berlangsungnya program, fasilitator harus memainkan peranan yang tersendiri di dalam meneutralkan peserta tersebut. Tindakan sesetengah fasilitator yang bertindak memulaukan peserta yang negatif itu adalah satu tindakan yang tidak tepat! Ini harus dijauhkan!
Saya mahu mencipta sesuatu.
Saya melatih diri sendiri agar saya menjadi seseorang yang luar biasa. Saya menjadikan mereka yang luar biasa sebagai tutor saya. En Kamaruzzaman, yang merupakan jurulatih kemanusiaan dan pakar motivasi sentiasa dijadikan rujukan. Saya memerhati, menganalisis dan membuat kesimpulan tentang beberapa orang motivator terkemuka seperti En. Amin Idris, Dr Fadhilah Kamsah, En. Abdullah Khairi dan Dr Hasrizal Abd Jamil. Saya memerhatikan mereka dan saya mencipta cara yang tersendiri.
Pengalaman saya sepanjang terlibat di dalam dunia pengucapan awam sedikit sebanyak telah membantu saya di dalam membentuk dan mempelbagaikan cara berucap dan menarik minat peserta. Alhamdullillah penglibatan saya di dalam dunia ini telah meningkatkan keyakinan diri untuk berucap di khlayak. Mungkin anda rasa pelik mendengarnya, tetapi saya giat mencipta sesuatu. Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan saya mahu jadi insan yang luar biasa. Semoga Allah memberkati usaha ini.
Lalu, saya berjaya mencipta beberapa modul yang pelbagai. Antaranya ialah :
i. Kem Smart Soleh (KeSSo)
Sebuah kem yang dirangka khas di dalam melahirkan generasi Al Quran yang soleh dan musleh. Kem ini menekankan kepentingan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah selain menjadikan islam sebagai penyelesaian hidup.
ii. Program Kami Hebat (ProKaHeb)
Sebuah program yang dirangka khusus untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Program ini menekankan teknik belajar, pengurusan masa efektif dan meningkatkan motivasi diri di samping beberapa aktiviti yang menarik.
iii. Seminar Daie Muda
Seminar ini khas kepada para pendakwah yang terdiri di kalangan pelajar yang tidak mempunyai keyakinan dan pengalaman di dalam mengendali kumpulan usrah. Seminar ini terdiri daripada tiga fasa iaitu fasa motivasi, fasa teknik berkomunikasi efektif dan fasa terakhir, fasa melaksanakan kepelbagaian usrah.
iv. Kem Kepimpinan
program ini dirangka untuk melahirkan generasi pemimpin yang selaras dengan AL Quran dan Sunnah terutamanya bagi menerapkan ciri-ciri al Qawi dan Al Amin di dalam jiwa remaja yang akan bergelar pemimpin.
Alhamdullillah,saya telah berjaya melaksanakan modul berikut di beberapa tempat. Misalnya, baru-baru ini,saya bersama beberapa orang fasilitator berjaya melaksanakan Kem Smart Soleh di Masjid Al Abrar,Kampung Sanglang pada 23 hingga 25 Jun 2011 dengan jayanya. KeSSo ’11 ini menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada ibu bapa dan pelajar. Setinggi puji buat Allah SWT.
Persoalan yang timbul, adakah saya seorang mampu untuk mencipta kemenangan Islam?
Mari Kita Cipta bersama..
Justeru, saya ingin mengajak anda untuk bersama-sama saya. Kita cipta kegemilangan Islam. Sekiranya anda seorang guru atau anda seorang AJK Masjid atau anda berjawatan di dalam komuniti anda atau anda berminat untuk membawa pembaharuan ,Maka mari bersama saya, kita anjurkan program-program yang telah dirangka oleh saya dengan ilham dari Allah.
Saya telah umumkan bahawa saya telah mencipta beberapa modul seperti di atas. Tipu jika saya katakan bahawa modul itu adalah yang pertama di dunia, tetapi modul yang diciptakan itu merupakan gabungan pelbagai bentuk program motivasi dan program keagamaan. Saya gabungkan kepelbagaian program itu supaya dapat membentuk sesuatu yang berbeza.
Sekiranya anda berminat untuk menganjurkan salah satu daripada modul berikut di tempat anda. Maka hubungi saya. Saya akan membantu melaksanakan modul-modul berikut di tempat anda secara percuma! Kerana saya tahu,saya akan menerima ganjaran di akhirat kelak di atas amal kebaikan saya!
Anda tak percaya? Percayalah kerana saya lakukan ini demi kepuasan diri sendiri dan saya mahu merasakan erti hidup saya di dalam memberi, bukan menerima!
Sila rujuk maklumat di bawah .
Yuran bagi penceramah : PERCUMA
Upah Fasilitator : PERCUMA
Harga pelaksanaan Modul/Slot : PERCUMA
Namun, saya hanya mengharapkan agar pihak tuan sudi menyediakan makanan dan tempat tinggal sekiranya lokasi anda jauh dari tempat kami. Tiada caj tersembunyi dikenakan!
InsyaAllah, sekiranya anda berminat atau punya persoalan yang ingin dikemukakan, sila hubungi saya di talian 017-5925439.
Semoga Allah memberkati usaha kita.
Syafiq Aizat Mahamad Fuad
Motivator Kelab Remaja Al Fateh (KRAF)
Isnin, 18 Julai 2011.
