Category: islami


Mimbar jumaat akan membangkitkan tiga persoalan utama untuk sama-sama kita koreksi diri, bermuhasabah. Adakah kita telah berjaya membentuk diri mengikut acuan islam yang sebenarnya? Adakah kita adalah generasi yang akan menggerakkan kemenangan islam? Fikirkan!

Ayuh, kita renungi diri sendiri!

Persoalan pertama. Lihatlah sekeliling kita. Bukalah mata seluas-luasnya. Lihatlah masyarakat islam pada hari ini. Apabila cara hidup tidak berimejkan Islam. Hidup berpaksikan nafsu. Maka lihatlah apabila kita merelakan sahaja mata menatapi lelaki dan perempuan galak berpegangan tangan tanpa segan dan silu. Apabila bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata hingga menjadi santapan dan juadah percuma buat binatang-binatang liar di jalanan.

Adakah kita telah berjaya membentuk diri mengikut acuan islam yang sebenarnya? Adakah kita adalah generasi yang akan menggerakkan kemenangan islam? Jawapannya, tidak!

 

Persoalan kedua. Lihatlah keluarga kita. Apabila kakak, adik perempuan bahkan ibu kita sekalipun tanpa segan dan silu seronok menayangkan mahkota perempuannya. Hebat bergaya dengan baju ketat, sendat dan padat hatta seolah-olah hukum Allah menghalalkan segala. Lihat pula pada ayah, abang dan adik lelaki giat menghadirkan diri di rumah-rumah judi, maksiat seolah-olah hukum Allah menghalalkan segala-galanya. Yang halal kita haramkan, yang haram kita halalkan.

Adakah kita telah berjaya membentuk diri mengikut acuan islam yang sebenarnya? Adakah kita adalah generasi yang akan menggerakkan kemenangan islam? Jawapannya, tidak!

 

Persoalan ketiga. Ayuh kita muhasabah, merenung kesalahan diri sendiri. Apabila kita sering meninggalkan perintah Allah yakni solat fardhu tanpa sebarang rasa bersalah. Ada di antara kita yang sengaja menyibukkan diri dengan urusan dunia setiap kali azan berkumandang. Ada di antara kita yang sengaja melewat-lewatkan solat hingga ia berlalu begitu saja. Bahkan ada di antara kita bangga mengakui , “akulah insan yang berani melanggar perintah Allah. Adakah Allah berani menghukumku?”

Sedangkan kita tidak menyedari, janji Allah itu pasti. Kita pasti akan dibalas dengan setiap perbuatan kita, walaupun sekecil zarah.

Adakah kita telah berjaya membentuk diri mengikut acuan islam yang sebenarnya? Adakah kita adalah generasi yang akan menggerakkan kemenangan islam? Jawapannya, tidak!

 

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Ayuh, kita kembali bermuhasabah. Melihat kesalahan diri sendiri. Usah kita tuding jari menuduh orang lain yang menyebabkan kita bersikap begini. Siapa yang mencorak diri kalau bukan diri sendiri? Ayuh, kita kembali pada Ilahi, jadikan Rasullullah ikutan diri.

 

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran : ayat 31

 

Maksudnya, :”Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Tanyakan pada diri sendiri, siapakah yang telah kita jadikan sebagai role model kita selama ini? Adakah Rasullullah? Kita dusta. Buktinya, kita agungkan cara kehidupan barat bahkan jika mereka masuk ke lubang najis sekalipun kita akan turut ikut ke dalamnya. Di mana bukti kita mengikuti cara kehidupan Rasullullah? Di mana buktinya? Tiada!

Lihatlah dunia, lihatlah keluarga dan lihatlah diri sendiri. Apakah pada diri kita ini terkandung secebis sunnah rasullullah yang telah kita praktikan selama ini. Adakah benar kita menjadikan rasullullah sebagai ikutan kita? Adakah kita sekadar mengatakan “akulah pecinta Muhammad yang paling setia!” sedangkan diri bermalas di dalam melaksanakan hukum agama, tidak mahu menyebarkan agama islam bahkan tega menentang hukum Allah.

Bayangkanlah, seandainya Rasullullah datang dan duduk di sebelah kita, lalu baginda bertanya. “Apakah yang telah engkau lakukan demi Islam wahai saudaraku?”

Maka, katakanlah.”Ya Rasullullah, sesungguhnya aku telah gagal menghidupkan ajaranmu di muka bumi ini. Aku telah gagal menghidupkan sunnahmu di dunia ini. Apakah aku layak berdamping denganmu di syurga nanti?”

 

Sidang jumaat yang dicintai Rasullullah SAW.

Bangkitlah generasi islam. Bangunlah dari tidur dan gerakkan dirimu demi kemenangan islam. Tinggalkanlah segala perkara yang akan membuat kita terlupa tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Sesungguhnya kemenangan Islam itu pasti akan datang dan kita lah yang akan menjadi penggerak ke arah kemenangan Islam.

Semoga Allah terus bersama kita. Semoga kita terus istiqamah menjadikan Rasullullah sebagai panduan hidup kita!

 

Akhirnya PSRtv dilancarkan!

assalamualaikum.

Just wanna share this beautiful quotes.

Islah Nafsak,Wad’u Ghairak.

“Apakah maksudnya? “Saya kehairanan ketika pertama kali mendengarnya..

“Maksudnya perbaikilah diri dan seru”, kata seorang teman kepada saya..

“Tp seru macam mana pula?”hati makin diselubungi dengan seribu satu persoalan.

“Sampaikanlah ilmu walaupun sepotong ayat”, balasnya ringkas.

 

hohoho. tamat di situ!

terasa bersalah apabila lama tak bertapa di laman ini.  Apatah lagi mengenangkan diri yang semakin malas nak berbuat kebaikan. Jadi, hati semakin berkarat,.

Dush Dush Dush!   tumbukan padu singgah di pipi.

jangan! Harus selalu istiqamah dalam melakukan kebaikan. nanti Allah bertambah sayang.  Bukanke Allah suka hambaNya yang melakukan sedikit ibadah tetapi dengan berterusan?

Bulan lepas, aku dengan bantuan adik-adikku sebagai tenaga produksi telah berjaya menyiapkan video ini. Video ini dirakam menggunakan kamera HP dan diedit dengan menggunakan windows Movie Maker.

 

Keep it up!
TQ bro!

Dengan nama Allah, semoga kalam ini lebih baik dari semalam. Semoga Allah merahmati.

Sudah beberapa hari sejak entri Nasyid Video Best Ever Contest dilancarkan di laman ini. Entah, aku tak tahu berapa banyak sambutan yang akan aku terima. Semoga ramailah yang nak masuk pertandingan tu  ye. Ya, anda yang sedang membaca artikel ini juga diwajibkan masuk. Ini satu paksaan. J

Solat : kewajipan yang kian dilupakan

 

Teringat saat aku masih lagi bergelar budak hingusan di Sekolah Kebangsaan Sanglang, ustaz sering bertanya, “Siapa yang tahu Rukun Islam ada  berapa dan terangkan kat ustaz. Siapa jawab betul, ustaz belanja ais krim.”

Itulah ganjaran yang ditawarkan kepada budak hingusan seperti aku dan rakan sekelas. Ais krim kon itu  merupakan makanan kegemaran yang paling digilai oleh kami. Zaman aku kecik-kecik dulu, memang tak mampu nak makan air krim Cornetto apatah lagi ais krim Magnum. Kami cuma mampu beli ais krim di dalam kon yang berharga dua kupang (dua puluh sen). Itu pun pak cik ais krim jual lepas hari persekolahan atau  masa hari sukan.

Semua orang berebut-rebut nak jawab, sebab ganjarannya adalah ais krim. Ais yang berkrim, bukan ais ketul tau.

Dalam keriuhan nak menjawab soalan ustaz, pelbagai jawapan yang diajukan.

“Rukun Islam ada enam ustaz.” Kata seorang teman.

“Weh, rukun Islam ada lima la.” Tambah seorang teman lagi, membetulkan temannya yang tersalah. Maka dua orang ini pun berkelahi, saling menegakkan pendapat masing-masing.

Apabila ditanya, apakah yang terkandung di dalam Rukun Islam. Berlaku campur aduk antara Rukun Islam dan Rukun Iman. Ye lah, budak sekolah rendah yang masih berhingus. Jawab pun main hentam keromo aja. Aku pula, diam seribu bahasa  dan ‘berlagak matang’ kerana malas nak jawab. (ceit, padahal bukan main lagi hang control macho depan budak perempuan paling top dalam kelas 6 Malinja!)

Lalu ustaz  pun memberikan jawapan yang paling tepat. Semua tak dapat makan ais krim yang ustaz nak belanja. Padan muka!

Lalu  ustaz pun berkata, “Murid-murid, Rukun Islam ada lima perkara iaitu 1)Mengucap Dua Kalimah Syahadah. 2 ) Menunaikan solat Fardhu lima kali sehari dan semalam.  3) Berpuasa di bulan Ramadhan. 4) Membayar zakat. 5) Menunaikan fardhu haji jika mampu.”

Semua terdiam, mengira dengan jari. Ya, cukup lima perkara. Kelihatan beberapa orang pelajar terkumat kamit menghafal lima perkara itu, masih tak betah dengan hafalan asas itu.

“Kalau kamu tak buat lima perkara ini, maka kamu bukan seorang Islam.” Sambung ustaz lagi.”

Lalu, ustaz pun menyambung pengajarannya mengikut aturan silibus pada hari itu. Jadilah kami pelajar yang tekun dan khusyuk belajar. Itulah kita, sewaktu masih lagi digelar budak hingusan.

Tamat cerita.

Tapi itu bukan penghujung entri ini. Perbincangan kita masih belum tamat.  Muhasabah diri masih belum tamat. Entri yang panjang berjela ini masih belum dikonklusikan. Jadi,teruskan pembacaan.

 

Pembaca yang dirahmati Allah,

Solat subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak. Total kesemua rakaat yang terdapat di dalam solat berjumlah 17 rakaat. Mengikut kiraan matematik tanpa menggunakan kalkulator, jika setiap rakaat mengambil masa 2 minit, maka 17 didarabkan dengan 2,jawapannya adalah 34 minit. Tetapi hakikatnya solat kita hanya mengambil masa 4 minit secara purata. Bahkan ada yang hanya mengambil masa 1 minit dan 30 saat untuk solat. Dahsyat!

 

Solat merupakan suatu kewajipan yang telah diamanahkan kepada kita. Menjaga solat sama seperti kita menjaga agama dan jika solat sering diremehkan,ini juga bermakna kita meremehkan agama.

Malah, Rasulullah s.a.w pernah bersabda akan kepentingan solat itu sendiri.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah meninggalkan agamanya.”

Adakah anda dan saya mahu menjadi orang yang meremehkan agama, merendahkan martabat agama Islam.?

Di dalam rukun Islam, solat adalah suatu tuntutan yang tidak dapat dikecualikan dalam apa jua situasi sekalipun kerana itulah ia berada di tempat kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Selain dari kalimah syahadah dan solat, perkara lain ada pengecualian.  Untuk kefahaman yang lebih mudah, perhatikan hierarki Rukun Islam.

  1. Mengucap dua kalimah syahadah (perlu untuk masuk Islam, tiada kalimah maka tidak masuk islam. Walhal ana mendengar ustaz di masjid mengatakan bahawa jika seorang yang nak masuk islam mengucap satu kalimah sahaja seperti “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan disembah selain Allah” dan mati sebelum mengucap kalimah kedua maka dia tidak boleh dikebumikan dengan cara Islam. Wallahualam)
  2. Solat 5 waktu (solat 5 waktu adalah kewajipan yang perlu dipenuhi samada kita sihat mahupun sakit, dikala aman mahupun peperangan, dikala mastautin mahupun musafir, kaya mahupun miskin)
  3. Menunaikan zakat harta/badan (zakat dikecualikan kepada orang fakir dan tidak berkemampuan serta pengecualian yang mengikut syarak)
  4. Berpuasa di bulan Ramadhan (puasa di bulan Ramadhan dikecualikan kepada orang yang sakit, tidak mampu, serta pengecualian yang mengikut syarak)
  5. Mengerjakan haji (haji tidak diwajibkan ke atas orang yang tidak berkemampuan dari segi harta mahupun fizikal serta pengecualian yang mengikut syarak)

 

Tiada pengecualian untuk kita meninggalkan solat dengan sengaja kecuali bagi kaum perempuan yang uzur sahaja.  Justeru, apa alasan kita?

Ayuh, paksakan diri untuk solat jika malas dan ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama kita.

Semoga sukses di dunia dan akhirat!

 

Salam cinta dari Ibnu Fuad.

Nota : Artikel ini merupakan artikel kolaborasi bersama dengan sebaikbaikcahaya.wordpress.com

 

Kepelbagaian Usrah : Teknik 1

 

Assalamualaikum wbt. Saya akan mula menulis tentang  kepelbagaian usrah yang akan dikategorikan di bawah  Islami . Saya akan menggunakan pendekatan bercerita bagi memudahkan kalian dan saya mempraktikkannya. Semoga beroleh manfaat.

 

Kisah 1

Seusai solat Isyak, Husna mencapai sebuah buku. Inilah kebiasaan keluarga Habibullah,seusai solat maghrib, mereka akan berkumpul bersama-sama untuk berusrah. Sejak walid Habib meninggalkan mereka dua tahun yang lalu, Husna menjadi ketua keluarga,punya kuasa veto kedua terbesar selepas ummi. Walid Habib syahid di Palestin, tika membantu saudara seagama di sana menghalau tentera Israel laknatullah itu dari bumi Al Quds. Husna bangga mengakui bahawa walidnya adalah seorang syuhada. Ummi pula,tatkala menerima berita tentang pemergian  suaminya, ummi tersenyum. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Moga Allah membimbing kami dengan cara yang paling diredhaiNya. Hati kecil Husna berdoa.

“Kak Husna,cepatlah. Aiman tak sabar nak dengar cerita seterusnya.” Aiman bersuara. Aiman merupakan anak lelaki yang bongsu. Dia paling manja dengan kakak kesayangannya.

Husna merenung wajah Aiman. Dia tersenyum seraya berkata “Sayang, sabar itu separuh dari .. ”

“Iman!!”

Aiman, Ubaidah dan Hakim menjawab serentak,bersaing sesama mereka. Huna tersenyum, Husna membuka buku Himpunan Kisah Pemimpin Terulung  Islam.

“Kak Husna,ceritalah tentang Al Fateh” Ubaidah bersuara.

“Aah,petang semalam,Kak Husna tak habiskan lagi cerita tentang Sultan Muhammad Al Fateh.” Sambung Hakim. Husna merenung wajah Hakim. Hakim pernah berkata bahawa Hakim akan mengikut jejak langkah walid sebagai syuhada. Dari mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

“Baiklah adik-adik.” Husna menghela nafas panjang. “Kak Husna nak adik-adik berdiri.”

Tanpa banyak soal, Ubaidah berdiri diikuti Aiman dan Hakim. Namun, jauh di sudut hati anak kecil itu tersimpan persoalan. Kenapa perlu berdiri? Mereka diam,menanti arahan seterusnya.

“Kalau adik-adik nak tahu,selepas penaklukan Kota Kontanstinopel (Kini dikenali sebagai Istanbol), Sultan Muhammad Al Fateh dan umat Islam  mahu mengerjakan solat Jumaat di masjid Aya Sophia. Sewaktu solat jumaat pertama hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah yang paling layak untuk mengimami solat Jumaat pertama di masjid tersebut.”

 

Ubaidah, Aiman dan Hakim termangu seketika. “Kemudian?”

Husna pun menyambung ceritanya. Husna memang pandai bercerita. Dahulu,dia Johan Pertandingan Bercerita Peringkat Negeri dua kali berturut-turut.

Lantas,Sultan Muhammad memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri lantas mengemukakan soalan.

“Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”.

 

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”.

 

Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi,

“Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al Fateh sendiri.

 

Terpancar sinar kekaguman di wajah Ubaidah dan Hakim. Tiba-tiba Aiman berdiri,

“Kak Husna, satu hari nanti, saya akan menjadi setegas Saidina Umar Ibnu Khatab, saya mahu jadi sezuhud Sultan Umar Abdul Aziz dan saya akan menjadi sultan yang terbaik seperti sultan Muhammad Al Fateh!!” Luah Aiman tegas.

“Bagus Aiman! Doa kakak sentiasa bersama Aiman.”

“Kakak Husna ni,cuma sayangkan Aiman seorang. Kak Husna tak sayangkan Hakim dan Abang Ubaidah ke?” Hakim mengeluh,merajuk mungkin. Ubaidah juga menampakkan mimik rajuknya.

“Adik-adik yang kakak sayang, Kak Husna sayang semua.” Kata Husna sambil tersenyum. “Baiklah,kita tamatkan halaqah kita ya. Sekarang,Kak Husna nak adik-adik Kak Husna siapkan kerja sekolah. Umat Islam tak boleh malas-malas kan?”

Ketiga-tiga adiknya mengangguk tanda setuju. Mereka berangkat meninggalkan kakak kesayangan mereka. Tinggallah Husna di ruang di ruang solat itu. Husna teringat kata-kata seorang ustazah di suatu majlis usrah.

“Jika kita membeli Nikon, DSLR, Asus dan sebagainya. Kita akan habiskan banyak masa kita unutk bersama dengannya. Kita akan menjaganya dengan penuh hati-hati hinggakan jika terguris walau sedikit calar,kita akan menangis.

Tetapi,kita tidak pernah luangkan masa untuk memperbaiki hati kita,sedangkan ia merupakan khazanah yang paling berharga untuk dipelihara. Malah,kita sering membiarkan ia berkarat tanpa ada rasa untuk membersihkannya. Itulah kerajaan di dalam tubuh kita.”

Ini masa Husna untuk muhasabah diri.

 

Itu peranan kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apa khabar pembaca tercinta?
Segala puji buat Allah kerana memberi bantuan di dalam melaksanakan Kem Smart Soleh (KeSSo ’11) bertempat di Masjid Al Abrar,Kg Sanglang.Alhamdullillah.

Kem Smart Soleh ini dikendalikan oleh sepuluh orang fasilitator yang dilatih untuk menjadi teladan kepada adik-adik yakni peserta KeSSo ’11. Semoga Allah merahmati kalian.

 

Tertarik untuk saya membicarakan tentang topik yang bukan daripada bidang saya yakni bidang keibubapaan,namun pendapat yang akan dikemukakan adalah berdasarkan pemerhatian secara ringkas,tepat dan pada.Semoga pena ini menjadi lebih baik dari semalam.

Semalam,saat saya  bersama Hakimi dan Ema sedang mengendali slot Muhasabah Diri, di saat sedang mengorek kesalahan peserta. Hakimi bertanya kepada umum yakni kepada semua peserta.
“Siapa yang tidak solat subuh pagi tadi? Angkat tangan! cepat!”

Kelihatan beberapa orang peserta lelaki kelihatan ragu-ragu untuk mengangkat tangan. Maka saya memainkan peranan sebagai Perunding Emosi dan Spiritual mula meninggikan suara.

“CEPATLAH ANGKAT TANGAN!!”

Maka mereka mulai mengangkat tangan. Saya pun bertanya kepada salah seorang peserta yang mengangkat tangan,
“Kenapa tak solat subuh pagi tadi?”

“Sebab tak bangun..” Jawabnya perlahan.

“Kenapa tak bangun? Mak tak kejutkan ke?” Tanya saya lagi dalam nada suara sedikit meninggi.

“Tak,mak tak kejutkan.”

Jawapannya buat saya terdiam. Lalu saya teruskan sesi muhasabah diri itu sambil dibantu oleh ibu dan bapa peserta. Alhamdullillah,cuma selepas ini saya akan melakukan transformasi secara total jika ia melibatkan kasih sayang dan keluarga. Mungkin sesi muhasabah diri perlu dilaksanakan terhadap ibu dan ayah juga. InsyaAllah.

Jawapan peserta tersebut buat saya berfikir panjang. Lalu membawa saya kepada travelog zaman berzaman. Justeru, maka saya mengajak para pembaca untuk berfikir sejenak.

Masihkah anda ingat saat kita semua masih lagi belajar menulis karangan? Kebiasaannya,guru bahasa Malaysia akan memberikan tips berikut jika soalan meminta kita untuk membincangkan isu berkaitan remaja iaitu pergaulan, pengaruh rakan sebaya dan peranan ibu dan bapa. Namun,yang paling menjadi perhatian ialah peranan ibu dan bapa dalam mendidik anak.

Kenapa?
Kerana kajian menunjukkan bahawa 80 peratus kehidupan remaja itu dicorakkan oleh ibu bapa manakala 15 peratus lagi dicorakkan oleh rakan sebaya dan baki 5 peratus lagi dicorakkan oleh suasana persekitaran. Ianya fakta yang ringkas namun dapat difahami bahawa ibu bapa memainkan peranan besar di dalam mencorakkan remaja.

Hadis riwayat Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang musyrik.” Lalu seorang lelaki bertanya: “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat engkau kalau anak itu mati sebelum itu?” Beliau menjawab: “Allah lebih tahu tentang apa yang pernah mereka kerjakan.”

Lihatlah,Rasullullah sendiri dengan jelas menekankan bahawa ibu dan bapa yang mencorakkan anak-anak menjadi insan yang cemerlang atau insan yang hampeh. Ini satu seruan buat ibu dan bapa,ayuh laksanakan tugas kita!

Semoga kita berjaya melahirkan generasi Islam yang terbilang,lantas membangkitkan kegemilangan empayar islam!
ALLAHUAKBAR!

 

Islam di hatiku

artikel ini telah dipos oleh saudara Azham di entri aku yang berjudul (Klik)

 

Salam duhai saudaraku tercinta.

Salam perkenalan ukhwah Islamiah.

Ternyata saya amat bersetuju dengan hujah yang diberikan.

Sesuatu masalah tidak mungkin akan selesai sekiranya kita asyik fokus kepada masalah tersebut.

Dan sebenarnya segala masalah yang kita alami sekarang adalah disebabkan sedar atau tidak rata2 antara umat Islam kita yang mengamalkan faham sekularisme.

Mengasingkan agama dari dalam kehidupan. Dan inilah yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka yang melupakanNya.

Maka bala2 seperti inilah yang hadir kedalam kehidupan masyarakat kita.

Umumnya, ramai di antara kita yang gagal untuk mengaplikasikan keindahan mukjizat Solat dalam kehidupan.

Solat hanyalah urusan di akhirat dan bukan untuk urusan di dunia.

Pokoknya, ramai di antara kita yang tidak NAMPAK kelebihan solat.

Di sebabkan solat yang tidak sempurna, atau tidak bersolat lantas datanglah masalah2 lain yang seumpamanya seperti pembuangan bayi.

Akhlak Rasulullullah turut di lupakan.

Pada saya, cara yang paling berkesan untuk memastikan segala jenis gejala sosial berlaku lagi ialah:

1. Mengasingkan pendidikan dari Politik. Pendidikan seharusnya menjadi entiti yang asing supaya tidak dipengaruhi oleh mana2 badan politik.

2. Mengislamkan pendidikan. Islamization of knowledge. Agar al-Quran dapat dipertekankan sebagai kitab ilmu dalam sistem pendidikan. Sunnah Rasulullulah di aplikasikan dalam kehidupan dan bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan Agama Islam.

3. Menjadikan tenaga pengajar itu sendiri beretika, berakhlak dan mempunyai perinsip-prinsip Islam seperti orang Cina. Yang meletakkan wang di belakang dan bekerja bersungguh2 (Ihsan) dan secara profesional (itqan). Ramai tenaga pengajar kita yang tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan. Lantas melahirkan generasi yang sama. Generasi robot yang tidak tahu untuk berfikir tetapi mengikut pemikiran dan fahaman ORANG lain.

Masalah mental yang dapat dibedung sekiranya sistem pendidikan sekularisme kita ini di ubah.

Walaupun negara kita ini multi-racial, tetapi sejarah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang indah yang mampu untuk di ikuti oleh semua Umat Manusia.

Tidak semestinya pembelajaran perlu dimulakan dengan bismillah dan sebagainya. Maksud saya di sini adalah SISTEM. Bukan BAHASA.

Kota Baghdad, Scandavia, Spanyol. Menyaksikan banjiran penuntut2 dari Barat yang bertandang untuk belajar dari ULAMA2 Islam tersohor semasa zaman kegemilangan Islam. Apa ertinya itu? Dan apabila mereka pulang ke tanah air, mereka banyak berucap terima kasih.

Dan kini, mereka mengaplikasikan SISTEM PENDIDIKAN ISLAM walaupun bukan 100% dalam sistem pendidikan mereka.

Dan kini, ISLAM DIJAJAH oleh MEREKA.

Segala masalah ada akarnya. Dan gejala2 sosial seperti pembuangan bayi ini

BERMULANYA DI SEBABKAN MASALAH MENTAL!

Ubatnya, ialah ISLAM! IMAN! IHSAN! dan ITQAN!

Al-Quran dilupai, Sunnah di caci, inilah balasan seperti yang dijanjikanNya

Selamat Ulang Tahun Ummi !!

 

Untuk Umi… cahaya cinta
Selamat Ulang Tahun

Dari Selatan Malaysia ini,Along sebarkan aroma mewangi Kota Tinggi, di suatu senja sebelum maghrib saat adzan melintas dalam bias-bias warna di corong suara Surau KPMBP hingga redup di hujung senja mensisakan rona jentera keabadian mengiringi gema adzan menutup hari untuk istirehat.

Umi.. seluruh doa saat dari senja hingga akhir malam menanti pagi kembali dengan senyuman yang indah membuka hari. Dalam fikiran ini, Along belajar memahami sejarah yang kita tuliskan pada hari ini dengan cinta untuk memberi warna pada setiap detik hidup. Kerana erti hidup yang sebenarnya ialah bersyukur dengan apa yang ada.

Ummi…hari ini adalah hari kelahiranmu, berulang dalam hitungan tahun menuju kematangan sebuah kedewasaan sikap dan kebijaksanaan sebagai diri, sebagai istri dan sebagai ibu bagi anak-anak. Ulang tahun adalah saat-saat merefleksi diri dari apa yang sudah diperbuat dan diberikan pada kehidupan. Selamat ulang tahun ummi… Semoga Allah memberi manfaat dengan apa yang kita lakukan hingga ke akhir hayat.

 

Di mana persandaraan kita..?

Hidup ini memang menyulitkan. Setiap hari jiwa kita akan teruji dan perjalanan hidup terasa semakin hari semakin sukar. Inilah kehidupan, “Dialah (Allah) yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah diantara kamu yang paling baik amalannya.”.

Ya, hidup ini adalah ujian. Menafikan hakikat ini akan menjadikan kita orang yang sentiasa kecewa dan putus asa. Menerima hakikat ini menggambarkan kebijaksanaan. Kebijaksanaan yang menonjolkan kepimpinan dan ketokohan kita sebagai hamba Allah SWT.

Sememangnya kegagalan itu sering mencederakan jiwa kita. Hati kita terluka dan meninggalkan bekas terlalu lama. Bahkan ada ketikanya, ujian hidup yang dilalui terasa begitu berat dan diluar kemampuan hingga kita kehilangan pendirian dan arah tuju.

Ujian itu umpama ombak ganas yang tidak pernah mungkir untuk menerjahkan kekuatannya pada pantai yang lembut dan tidak berdaya. Namun lebih sulit lagi kedatangan ujian ini dalam bentuk yang sentiasa berubah dan dalam masa yang tidak menentu. Jiwa kita tidak akan tenang sehinggalah kita menerima lumrah kehidupan ini dengan jiwa yang pasrah dan sabar. Namun kepasrahan dan kesabaran itu tidak akan muncul hinggalah kita benar-benar menyandarkan seluruh jiwa dan harapan kita pada Pemilik kehidupan, Pemilik jiwa dan Pemilik alam yang menentukan rintangan dan perjalanan hidup kita segalanya. Kita tidak akan merasakan ketenangan sehinggalah kita benar-benar merasai hakikat kehambaan diri serta kekuasaan Ilahi.

Salah persandaran akan menjadikan kita manusia kecewa dengan segala kelemahan dan keputus asaan. Namun memilih persandaran yang betul memerlukan ilmu yang benar dan proses memahami dan mengenali hidup dan kehidupan yang sedang kita tempuhi.

Perpisahan sementara

” اَشْهَدُ اَنْ لااِلهَ اِلااللهُ
وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ
aku bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahwa Nabi Muhammad utusan Allah . . .

saya ingin menjaga silaturahim dengan sebaik-baiknya.

~ Perpisahan Sementara ~

Namamukah yang tertulis di luh mahfuz sana?
Engkaukah yang bakal menemaniku jalan menuju syurga?
Dirimukah yang akan melengkapkan separuh dari agamaku?
Adakah kau yang tercipta untukku?
Jawab pertanyaanku ini.
Jawab!

Kau takkan pernah dapat memberi jawaban
Kerna jawapannya bukan di tanganmu
Tetapi di tanganNya.
Di tangan Tuhan kita; Allah
Tuhanku dan Tuhanmu

Gelisahku memikirkan dirimu
Dan ketakutanku memikirkan Tuhanku
Maafkan aku.
Ketakutanku pada Tuhanku melebihi kegelisahanku memikirkanmu

Ku jemput dirimu pabila waktunya tiba
Sebelum sampai saat itu, biarkan aku sendiri bersama Si Dia
Akan kucipta cinta bersama Dia
Sebelum kucipta cinta antara kita

Jadilah dirimu bunga yang hebat
Dan doakan aku agar menjadi kumbang yang stia
“i’ve leave him for the sake of Allah”

Sesungguhnya Allah takkan pernah mensia-siakan pengorbananmu sayang
Bilamana kita tinggalkan semua ini kerana Allah semata
Yakinlah!
Akan ada sesuatu yang indah untukmu di pengakhiran nanti

Dan sesungguhnya hari kemudian
itu lebih baik bagimu
daripada yang sekarang (permulaan).
Dan kelak Tuhanmu
pasti memberikan karunia-Nya kepadamu ,
lalu (hati) kamu menjadi puas.
[Ad dhuha: 4 & 5]

Untuk itu
Aku tinggalkan dirimu padaNya

Sesungguhnya
aku bertawakkal
kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu.
Tidak ada suatu binatang melata
melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya.
Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.
(Allah Maha Adil)
[Hud: 56]

Usah bersedih atas perpisahan sementara ini
jika benar kamu tercipta untukku
tiada apa yang dapat menghalanginya
sebelum saat itu tiba ,
berdoalah pada Allah moga diberi kekuatan
mohonlah padanya dengan penuh mengharap
Sesungguhnya
aku bertawakkal
kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu

(Surah Al-Ankabut,29:38)

“Dan (juga) kaum Ad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari (puing-puing) tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu ia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.”

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 89 other followers