Direject? itu biasalah


Saya teringat satu masa dulu, saya dan rakan, Imam Habibie, dijemput untuk mengendalikan program Awesome Facilitator! bersama pelajar SMA Sultan Ismail, Dungun dan SMA Al Falah, Kemaman di Anguillia Resort, Marang, Terengganu.

IMG_1009

Seusai tamat program pada hari rabu, petang itu kami bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur. Bagai menjadi adat, alang alang singgah di Terengganu, sudah tentulah keropok lekor dan keropok ikan akan menjadi buah tangan.

Saya jadi semacam excited. Eksaited gila nak beli keropok lekor!

Yelah, nak bawak balik buah tangan untuk ahli keluarga dan sanak saudara beb!

Saya memandu kereta Mercedes Benz buatan Jerman tahun 1999, meluncur laju ke Kuantan. Hanya saya dan Imam di dalam kereta tersebut. Imam sudah nyenyak tidur di sebelah, sementelah saya khusyuk memandu kereta sambil sesekali mata melilau mencari kedai keropok lekor yang akan dijajah lagi.

Sampai di pekan Dungun, saya ternampak sebuah kedai yang namanya Kedai Keropok Lekor 101, Dungun. Ianya berdekatan dengan stesen minyak Shell. Setelah parking kereta di tepi jalan, saya keluar dan menjenguk.

Ada seorang gadis yang berada di kaunter, sedang sibuk menyiapkan beberapa urusan di kedai. Dia menyapa saya yang menjenguk ke kedainya.

“Oh, comel juga.” Kata hati kecil saya.

Walaupun hati memuji, tapi langsung tak terlintas dalam fikiran untuk berkenalan atau berkawan dengan si dia apatah lagi menjadikan dia teman hidup. Serius!

“Yang mana yang paling sedap?” Tanya saya.

“Semua sedap.” Balasnya sambil tersengih.

“Ada tester tak?”

“Ambiklah yang mana nak dirasa.” Katanya.

Sedang saya asyik memilih mana yang ingin dirasa, tiba tiba keluar seseorang daripada belakang. Comot pakaian dengan tepung. Nampak gaya, mungkin dia bertugas di bahagian menguli tepung dan menyediakan bahan asas untuk keropok lekor.

Saya nampak ada lebihan rambut di tudungnya, terkeluar dan saya alihkan pandangan mata saya. Lagaknya seolah olah saya tidak nampak.

Tiba tiba, perempuan yang bertugas di kaunter terus membisikkan sesuatu kepada perempuan yang bertugas di belakang.

Selepas perempuan di kaunter itu membisikkan sesuatu, perempuan yang bertugas di bahagian dapur terus membetulkan tudungnya untuk memasukkan semua rambutnya tidak dilihat oleh seseorang yang belum halal seperti saya.

“Oh, ternampak rambut ya?” Usik saya ringkas.

“Adik, bungkuskan keropok goreng dua ringgit, dan sata dua ringgit.” Saya memesan.

Setelah membuat pembayaran, saya terus menuju ke kereta, dan Imam telah terjaga daripada tidurnya.

“Imam, jom makan ni. Sedap!” Saya hulurkan pada Imam.

Hati yang tertinggal

Sepanjang perjalanan, saya jadi tak tenteram. Seolah olah saya tertinggal sesuatu.

Ya, hati saya tertinggal di sana!

Hati saya berbolak balik. Resah gelisah.

Nak patah balik tak? Tanya hati kecil. kalau nanti dah sampai kuantan, memang terlepaslah segala peluang.

“Imam, saya rasa resah lah.” Seru saya.

“Kenapa abang Syafiq?” Imam Habibie bertanya.

“Rasa macam nak patah balik je. Sebab saya dah TERberkenan kat seseorang.” Kata saya seolah berseloroh.

Perbualan kami berlanjutan sehingga saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Sebelum U-turn ke lorong yang sepatutnya, saya duduk diam selama sepuluh minit. Cuba meyakinkan diri sendiri.

Betul ke mahu patah balik? betul ke serius mahu berkawan? atau sekadar nak jadikan dia teman hilangkan bosan?

Setelah hati dikukuhkan, saya meyakinkan diri sendiri. Kalau ada jodoh, maka ada lah!

Di kedai yang sama juga, saya sengaja berlagak seolah olah mahu beli lagi.

“Adik, bungkuskan sata yang frozen  tu lagi dua bungkus.” pesan saya.

Selesai membuat pembayaran buat kali kedua, sebelum berlalu pergi. Saya bertanya, “Boleh saya minta nombor telefon mak awak?”

“Tuu.” Balas gadis itu sambil jarinya menuding ke arah nombor telefon yang ada pada sebuah banner yang di gantung di hadapan kedai tersebut.

“Yang mana number mak?”

“Yang 011-1 tu. “

“Tahu tak kenapa saya nak minta nombor telefon mak?”

“Taktahu.” Dia menggelengkan kepala. Wajah polosnya buat saya tenteram.

“Saya nak call mak awak untuk minta kebenaran berkawan dengan awak.” Balas saya sambil berlalu pergi. Meninggalkan dia dalam tanda tanya.

Kami terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.  Setelah selesai menghantar Imam Habibie ke UIA Petaling Jaya, saya selamat tiba di rumah pada jam 10 malam, lebih kurang.

Setibanya di Kuala Lumpur pada malam itu, saya merehatkan diri. Penat memandu daripada Marang ke Kuala Lumpur melalui jalan Kuantan masih belum habis.

Hari khamis berlalu. Nombor telefon mak kepada gadis itu sudah saya miliki. Tapi nak buat apa? Apa step yang perlu saya buat?

Saya berfikir lagi, mahu teruskan atau tidak?

Saya bertindak

Hari ini hari jumaat. Saya menunaikan solat jumaat di Masjid Jamek Kampung Bharu. Akhirnya, saya bertekad untuk bertanya khabar dan melangkah. Melangkah untuk mengesan peluang.

Saya menelefon, dan panggilan diangkat.

“Assalamualaikum. Apa khabar?” Saya memberi salam.

“Waalaikumsalam. Alhamdullillah, baik. Ya, ni siapa?” Kedengaran suara perempuan di corong telefon.

“Saya Syafiq, Makcik.”

“Syafiq yang mana ya?”

“Kita tak pernah jumpa lagi, makcik. Saya pernah pergi kedai makcik yang dekat Dungun tu. Sedap keropok lekor yang makcik jual.”

“Oh, terima kasih lah.”

“Begini, makcik. Baru baru ini, saya pergi ke kedai makcik. Dan saya berkenan nak kawan dengan anak makcik. Yang namanya Neelofa (nama samaran) tu.”

Makcik itu tergelak kecil, “Oh, dia belajar pun tak habis lagi.” Jawab makcik sambil tersenyum.

“Oh, takpelah. Nak kawan je makcik. Kalau ada rezeki, ada lah. Kalau ada jodoh tu, ada lah.” Saya juga menjawab sambil tersenyum.

“Boleh je kalau macam tu. Nanti makcik tanya tuan punya badan. Kalau makcik, okey je. Makcik lagi suka.”

“InsyaAllah. kalau macam tu, nanti saya telefon balik nak tahu jawapannya. Assalamualaikum makcik.” Saya menamatkan perbualan dengan senyuman.

“Waalaikumsalam.”

Hati saya berbunga indah! Berbunga bunga dan harum wangiannya! Saya senyum sampai penghujung hari!

Nombor telefon makcik tersebut, terus saya save dengan nama, ‘Mak Mentua’

Jawapan itu

Saya telefon semula makcik dengan nama ‘Mak Mentua’ beberapa hari kemudiannya. “Assalamualaikum Makcik. Apa khabar?”

“Alhamdullillah. Ni siapa ya?”

“Ni Syafiq, yang telefon makcik minggu lepas tu.”

“Oh, kejap ya.”

‘Bakal Mak Mentua to be’ menghulurkan telefon kepada Neelofa.

“Err ni siapa ya?”  Tanya Neelofa.

Saya mendengar suara seseorang yang bernama perempuan.

“Saya Syafiq, dan kita pernah berjumpa di Dungun. Ingat lagi tak?”

“Oh okey. Salah nombor ni.”

Panggilan ditamatkan.

Saya terkedu. Fahamlah saya bahawa saya direject. 

Respons saya

Luluhnya hati saya direject. Hancurnya hati saya bagaikan Candy Crush. Dush Dush Dush!

Tetapi apakah yang perlu saya lakukan? Apakah yang saya nak lakukan?

Adakah saya perlu membunuh diri? Mencampakkan telefon ke dalam sungai? Mogok lapar selama setahun? Demontrasi di depan kedai makcik tersebut?

Oh tidak!

Bunga bukanlah sekuntum. Bahkan, bunga pula ada bermacam jenis.

Ada bunga mawar. Ada bunga raya. Ada bunga kertas. Ada bunga matahari. Ada bermacam bunga!

Penutup

Anda pernah direject apabila ingin menjadikan seseorang sebagai teman hidup dengan lebih serius?

Eh Chillex lah!

Banyak lagi bunga beb!

Modul Muhasabah : Kertas Hati


Saya berkesempatan bertemu dengan tuan Shauqi, yang merupakan seorang perunding motivasi remaja daripada Ijtihad Academy Training & Consultancy.

Hari itu kami berprogram di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Kubu Bharu. Saya bersama pelajar tingkatan empat, manakala Shauqi bersama pelajar tingkatan satu dan dua.

Masing masing kami dalam program yang berlainan, modul yang berlainan dan sasaran peserta yang berlainan. Semuanya berbeza!

Tengah hari itu, sewaktu sesi makan tengah hari. Kami bertemu untuk membincangkan agenda seterusnya. Pihak IPS (yang merupakan training provider) meminta untuk saya lakukan sesi muhasabah diri pada petang itu, sebagai agenda kemuncak program.

“Nak buat muhasabah ni senang je.” Kata Shauqi.

Shauqi memang merupakan seorang yang berpengalaman di dalam bidang muhasabah ini. Ini sesuatu yang saya akui. Beliau berkongsi sesuatu yang saya akan kongsikan dengan anda semua.

Kertas Hati

“Adik adik akan diberikan sehelai kertas A4. Abang nak awak lukiskan gambar hati di atas kertas tersebut.” Kata Shauqi.

Peserta pun mulai melukis gambar hati seperti yang diarahkan.

“Baik, adik adik. Sila angkat kertas tersebut.”

Peserta pun mulai mengangkat kertas tersebut.

“Apa yang abang nak adik adik buat adalah, sila genggam kertas tersebut.”

Peserta pun mulai menggenggam kertas tersebut. Kertas yang tadinya cantik kini mulai berkedut.

“Adik adik, genggam sekuatnya.” Arah Shauqi lagi.

Peserta mulai gelak. Ada yang ketawa kecil. Ada yang masih serius. Ada yang over apabila disuruh untuk menggenggam kertas tersebut.

“Adik-adik, sekarang genggam lagi kuat. Kuat seolah olah kamu nak hancurkan kertas itu.”

Peserta pun menggenggam kertas tersebut sekuat kuatnya.

“Adik-adik, sila buka kertas adik adik semua sekarang.”

Peserta pun mulai membuka kertas tersebut. “Adik-adik, cuba lihat lukisan hati yang ada dalam kertas masing masing.  Apa yang adik adik nampak?”

“Kertas ini berkeronyot. Berkedut.”

“Kertas ini dah tak tegang macam mula mula. Betul kan?” Tanya Shauqi.

Peserta mengangguk.

“Begitulah perasaan ibu dan ayah kamu adik adik. Bila kali pertama kamu lukakan hati mereka, mereka akan terasa dengan sikap kamu adik adik.”

Peserta mulai tunduk.

“Ingat tak masa mak kamu panggil kamu. Masa tu kamu tengah tengok cerita kartun kat TV. Mak panggil kamu berulang kali. Kamu tak menyahut panggilan mak. Apa perasaan mak kamu ya ketika itu?”

Soalan diajukan lagi.

“Cuba tengok kertas kamu. Betapa hancurnya perasaan mereka apabila kamu bersikap acuh tak acuh dengan mereka. Kamu sakitkan hati mereka. Kamu lukakan hati mereka.”

“Kertas itu, kalau kamu iron sekalipun. Dia takkan jadi seperti sedia kala. “

“Kamu buatlah apa pun, kertas tersebut takkan pulih seperti asalnya.” Shauqi terus melakukan provokasi.

Peserta tunduk. Ada yang mulai mengalirkan air mata. Ada yang sudah menangis teresak esak.

“Baiklah, sekarang abang nak kamu capai pen kamu. Dan tuliskan warkah buat ibu dan ayah kamu. Tuliskan di atas kertas yang telah kamu genggam tadi. Tuliskan ucapan permohonan maaf kepada ibu dan ayah kamu. Ungkapkan betapa kamu amat sayangkan mereka.” Kata Shauqi lagi.

Cara saya

Sekiranya saya melakukan teknik ini seperti yang dikongsikan oleh Shauqi. Penambahbaikan yang akan saya lakukan adalah mereka akan mulai menulis warkah untuk ibu dan ayah mereka.

Sudah tentu saya akan menambahkan unsur muzik di dalam aktiviti ini. Antara lagu yang akan saya gunakan adalah Warisan Bonda. Lagu ini sangat menarik!

 

 

Awesome Facilitator! untuk Nuqaba


Saya dihubungi oleh Puan Liyana menerusi laman Facebook. Puan Liyana meminta untuk saya sediakan modul pengurusan usrah untuk bakal naqib baharu yang akan berjinak jinak di dalam dunia usrah.

Saya teringat, ada satu modul yang memang saya design untuk para nuqaba, barisan fasilitator secara khususnya.

Modul ini namanya Awesome Facilitator!

Modul ini yang saya tawarkan pada semua ahli Pembimbing Rakan Sebaya secara amnya, dan barisan Nuqaba dan Fasilitator secara khususnya.

Modul ini adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang ahli PRS, fasilitator dan naqib.

Alhamdullillah, saya berkesempatan menterjemahkan semua pengalaman saya ini dalam bentuk buku.

IMG_5622

Bermain dengan cahaya.

 

Yeah!